PKPD: Bekalan makanan, keperluan mencukupi

Omar Bahktiar ketika meninjau keadaan hari pertama pelaksanaan PKPD di SABK Maahad Al Yahyawiah, Padang Rengas hari ini.
Omar Bahktiar ketika meninjau keadaan hari pertama pelaksanaan PKPD di SABK Maahad Al Yahyawiah, Padang Rengas hari ini.
A
A
A

PADANG RENGAS - Bantuan makanan dan lain-lain keperluan mencukupi bagi menampung keperluan 90 pelajar dan 12 warga Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) Maahad Al Yahyawiah di sini yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) berkuat kuasa hari ini.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Omar Bakhtiar Yaacob berkata, penyelarasan telah dibuat dengan beberapa agensi terlibat termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta Pejabat Daerah dan Tanah bagi memastikan tempoh PKPD selama dua minggu ini berjalan lancar.

"Keperluan makanan adalah cukup dan kita telah membuat ketetapan bahawa semua makanan ini akan dibekalkan melalui JKM.

"Lain-lain perkara seperti kerja-kerja pembersihan, peralatan pelindungan diri, bekalan pelitup muka dan cecair pencuci tangan juga dijamin mencukupi, penyelarasan bantuan ini dibuat dengan agensi-agensi yang lain," katanya kepada pemberita selepas meninjau hari pertama PKPD di SABK Maahad Al Yahyawiah di sini hari ini.

Beliau berkata, setakat semalam, sebanyak 44 kes positif koronavirus (Covid-19) dikesan di kawasan itu yang kebanyakannya membabitkan pelajar.

Katanya, perkembangan itu disifatkan membimbangkan berbanding dua kes pertama yang dikesan berlaku pada 4 November lalu.

Garisan kuning dipasang bagi menutup laluan masuk ke SABK Maahad Al Yahyawiah, Padang Rengas berikutan pelaksanaan PKPD yang bermula hari ini. (Gambar kecil: Omar Bahktiar)
Garisan kuning dipasang bagi menutup laluan masuk ke SABK Maahad Al Yahyawiah, Padang Rengas berikutan pelaksanaan PKPD yang bermula hari ini. (Gambar kecil: Omar Bahktiar)

"Sejak gejala pertama itu, Majlis Keselamatan Negara (MKN) telah mengeluarkan arahan serta merta untuk polis lakukan kepungan di kawasan ini.

Artikel Berkaitan:

"Dua sekatan jalan raya (SJR) telah kita didirikan sejak Khamis lepas di hadapan pintu pagar dan laluan masuk utama ke sekolah ini bagi memantau pergerakan, malah bangunan sekolah ini telah melalui dua kali proses sanitasi.

"Jadi dengan adanya PKPD ini, polis akan membuat penambahbaikan untuk pastikan tiada pergerakan keluar masuk di kawasan ini, hanya pihak-pihak yang berkenaan sahaja dibenarkan," katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan bahawa pergerakan penduduk kampung yang tinggal berhampiran masih dibenarkan selari dengan pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

"Kawasan ini tidak melibatkan kampung yang besar jadi tidak ada masalah kerana memang kita dah buat tindakan awal, ini termasuk pemeriksaan dan penutupan jalan di laluan-laluan tikus untuk pastikan tiada pergerakan keluar masuk tanpa kebenaran polis," katanya.

Semalam, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberitahu bahawa kerajaan memutuskan untuk melaksanakan PKPD di SABK Maahad Al Yahyawiah selama dua minggu bermula hari ini sehingga 21 November.