X

Kindly register in order to view this article
!

Pemuda PN gesa ahli Parlimen sokong Belanjawan 2021

Tengku Zafrul ketika membentangkan Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat kelmarin.
A
A

KOTA KINABALU - Pemuda Perikatan Nasional (PN) menggesa supaya seluruh ahli Parlimen memberikan sokongan penuh untuk meluluskan Belanjawan 2021 yang dibentangkan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz kelmarin.

Gesaan itu dibuat dalam satu kenyataan bersama oleh Ketua Pemuda Pas, Ir Khairil Nizam Khirudin; Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal; Ketua Pemuda Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Rizal Johari dan Ketua Pemuda, Parti Progresif Sabah (SAPP) Jamain Sarudin.

Menurut kenyataan itu, mereka menyambut baik Belanjawan 2021 yang dibentangkan itu dan secara umumnya, ia adalah sebuah kerangka polisi yang inklusif dan secara jelas meletakkan rakyat sebagai tunjang utama agenda negara.

"Pelbagai insentif diumumkan menyediakan peluang untuk menyokong rakyat terkesan akibat pandemik yang berterusan termasuk pekerja sektor perkhidmatan seperti industri penerbangan dan hospitaliti.

"Program seperti latihan dan penempatan semula, pemerkasaan program-program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) dan bantuan yang diteruskan di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) membuktikan iltizam dan keprihatinan kerajaan untuk terus menyokong orang ramai khususnya anak muda," kata kenyataan tersebut.

Kenyataan itu turut menyebut, dalam usaha untuk memacu kembali ekonomi negara, kerajaan mengumumkan pelbagai geran dan pelaburan besar-besaran dalam sektor yang dikenal pasti sebagai tunjang pertumbuhan ekonomi baharu pada masa hadapan.

"Program untuk memajukan pertanian dan komoditi, meluaskan capaian internet termasuk di luar bandar dan merancakkan penyelidikan serta pembangunan (R&D) akan dapat meningkatkan kedudukan Malaysia dalam rantaian nilai global, menjana banyak peluang pekerjaan baharu dan memulihkan ekonomi rakyat adalah amat dialu-alukan.

"Secara keseluruhan, kami percaya belanjawan kerajaan BN di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ini dalam jangka panjang akan memandu Malaysia melalui fasa transisi ke arah menjadi sebuah ekonomi lebih mapan, efisien, kompetitif dan mampu menawarkan kemakmuran yang dapat dikecapi bersama oleh seluruh rakyat," katanya.

Sehubungan itu, Pemuda PN menggesa seluruh ahli Parlimen memberikan sepenuh sokongan untuk meluluskan belanjawan ini.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!