PKPB: Polis Terengganu aktifkan 29 sekatan jalan raya

(Gambar hiasan) - Gambar kecil: Datuk Roslee Chik
(Gambar hiasan) - Gambar kecil: Datuk Roslee Chik
A
A
A

KUALA TERENGGANU - [DIKEMAS KINI] Polis Terengganu akan mengaktifkan 29 sekatan di seluruh negeri ini sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang berkuat kuasa tengah malam ini sehingga 6 Disember depan.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Roslee Chik berkata, pihaknya mengambil inisiatif berkenaan kerana tidak mahu menyusahkan pergerakan orang awam disebabkan PKPB kali ini membenarkan hampir semua sektor ekonomi dan sosial dibuka semula.

"Kita sedia maklum PKPB kali ini, hampir semua sektor dibenarkan beroperasi, jadi kita yakin pasti ramai yang akan berulang alik ke tempat kerja masing-masing dengan memiliki surat kebenaran pelepasan daripada majikan masing-masing.

"Dengan situasi ini, kami kurangkan sekatan kerana tidak mahu mengganggu lalu lintas sekaligus menyukarkan perjalanan orang ramai untuk ke tempat kerja," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Menurutnya, pihaknya akan membuat penstrukturan semula operasi sekatan jalan raya di lokasi tertentu selain menumpukan kepada pematuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP), operasi pencegahan jenayah dan kawalan sempadan.

"Bermula esok, polis akan meningkatkan penguatkuasaan pematuhan SOP terutama penjarakan fizikal sebagaimana diarahkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Dengan arahan terbaharu itu juga, beberapa lokasi sekatan jalan raya turut diubah ke lokasi lain yang selama ini menjadi laluan kegiatan penyeludupan membawa masuk pendatang tanpa izin (PATI) dan aktiviti penyeludupan.

"Kami terus memperketat kawalan di setiap pintu sempadan negeri termasuk 'lorong tikus' dan di Lapangan Terbang Sultan Mahmud di Kuala Nerus bagi mengelak wujudnya kluster koronavirus (Covid-19) dari luar Terengganu," katanya.

Artikel Berkaitan:

Roslee berkata, anggotanya akan mempergiat rondaan dan pemeriksaan terutama di tempat tumpuan ramai termasuk pusat membeli-belah, pasar raya dan tempat rekreasi bagi memastikan SOP KKM terutama amalan penjarakan fizikal sentiasa diutamakan masyarakat.

"Sepanjang pelaksanaan PKPB, kami juga akan memberi nasihat serta amaran kepada orang ramai di kawasan tumpuan bagi mengelakkan mereka berkumpul," katanya.