APMM usir bot nelayan Indonesia

APMM mengusir sebuah bot nelayan Indonesia yang dinaiki 28 kru kerana menceroboh perairan negara pada kedudukan 14.8 batu nautika barat daya Tanjung Labuh, Batu Pahat semalam.
APMM mengusir sebuah bot nelayan Indonesia yang dinaiki 28 kru kerana menceroboh perairan negara pada kedudukan 14.8 batu nautika barat daya Tanjung Labuh, Batu Pahat semalam.
A
A
A

BATU PAHAT - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Johor mengusir sebuah bot nelayan warganegara Indonesia yang menceroboh perairan negara pada kedudukan 14.8 batu nautika barat daya Tanjung Labuh di sini semalam.

Pengarah APMM Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, kehadiran bot yang dinaiki 28 kru itu dikesan Bot Benteng Zon Maritim Batu Pahat semasa pihaknya melakukan Ops Benteng dan Ops Jaksa pada jam 5 petang.

"Bot maritim merapat ke arah bot nelayan Indonesia tersebut dan mengarahkan berhenti untuk pemeriksaan.

"Ini kerana bot berwarna hijau biru itu didapati melepasi satu batu nautika daripada garis sempadan perairan Malaysia-Indonesia sebelum diiring dan diusir keluar hingga ke sempadan perairan," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Nurul Hizam berkata, ini merupakan pengusiran pertama dilakukan APMM Johor setelah arahan penahanan ditangguhkan sementara berikutan langkah pencegahan penularan koronavirus (Covid-19) oleh warga asing.

Beliau berkata, APMM Johor komited dalam menggalas tugas dan tanggungjawab walaupun cabaran keadaan cuaca yang tidak menentu pada hujung tahun.

"Ini bagi memastikan tiada pencerobohan bot nelayan asing dan pendatang asing tanpa izin (PATI) ke perairan negara bagi menghentikan pandemik yang melanda negara terutama di Johor.

"Sebarang aduan jenayah maritim atau pencerobohan PATI di perairan Johor, orang ramai segera hubungi talian hotline 24 jam Pusat Operasi Maritim Negeri Johor 07-219 9404 atau talian hotline 24 jam National Task Force (NTF) 011-62511223," katanya.

Artikel Berkaitan: