Pulau Pinang harap pembangunan PPR diutamakan

Jagdeep (tengah) menyampaikan sumbangan sempena sambutan Deepavali di Asrama Ramakrishna hari ini.
Jagdeep (tengah) menyampaikan sumbangan sempena sambutan Deepavali di Asrama Ramakrishna hari ini.
A
A
A

GEORGETOWN - Kerajaan Pulau Pinang berharap pembangunan unit rumah baharu melalui Projek Perumahan Rakyat (PPR) di atas lima plot tanah yang diperuntukkan sebelum ini di seluruh negeri akan diberi keutamaan.

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa, Jagdeep Singh Deo berkata, pada masa ini, hanya 999 unit rumah di Pulau Pinang berbanding keseluruhan 114,652 unit PPR di seluruh negara.

Menurutnya, sejak 2017, kerajaan negeri telah memperuntukkan lima plot tanah di lima daerah yang berbeza dengan keluasan keseluruhan 29.3 hektar bagi pembangunan lebih banyak unit PPR kerajaan Persekutuan.

"Perumahan merupakan hak asası manusia yang perlu dijauhkan daripada cengkaman politik. Ini merupakan satu usaha yang baik dan syabas kepada kerajaan. Kita berharap Pulau Pinang diberi keutamaan melalui penggunaan tanah-tanah ini bagi pembangunan unit PPR baharu ini.

"Kita juga berharap agar Pulau Pinang tidak dianaktirikan oleh kerajaan Persekutuan," katanya pada sidang akhbar selepas menyampaikan bantuan sempena sambutan Deepavali di Asrama Ramakrishna di sini hari ini.

Jagdeep berkata, kerajaan negeri juga berharap peruntukan kerajaan Persekutuan kepada Pulau Pinang bagi kerja penyelenggaraan dan penaiktarafan skim perumahan kos rendah serta kos sederhana rendah adalah tidak kurang daripada RM32 juta seperti yang diperuntukkan pada tahun lalu.

"Pada tahun ini, RM31.7 juta bagi kos penyelenggaraan diperuntukkan kepada kita. Kita berharap, bantuan ini diteruskan untuk tahun 2021.

"Dalam pada itu, kerajaan negeri menghargai usaha kerajaan Persekutuan dalam mengikuti jejak langkah kita dalam memperkenalkan skim 'rent-to-own' (RTO) bagi membolehkan lebih banyak orang memiliki rumah.

Artikel Berkaitan:

"Sehingga kini, kita mengenalpasti 2,474 unit RTO di seluruh Pulau Pinang iaitu 11.2 peratus daripada sasaran kita dalam membekalkan 22,000 unit di seluruh negeri menjelang 2030," katanya.

Dalam perkembangan lain, Jagdeep berkata, sehingga kelmarin, sebanyak 1.5 juta pemeriksaan bagi memastikan orang ramai mematuhi prosedur operasi standard (SOP) pencegahan koronavirus (Covid-19) telah dijalankan oleh petugas Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan juga Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP).

Katanya, pemeriksaan oleh MBPP mendapati pematuhan adalah pada kadar 99.69 peratus, manakala MBSP merekodkan pematuhan pada 99.35 peratus.