Lelaki ditahan bawa parang ke rumah bekas mentua

Noorzainy Mohd Noor
Noorzainy Mohd Noor
A
A
A

KEPALA BATAS - Seorang lelaki ditahan kerana dipercayai cuba melakukan ugutan jenayah lantaran membawa parang ketika datang ke rumah bekas mentuanya di Kampung Setol, Permatang Buloh, pada Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, lelaki berusia 40 tahun itu datang ke rumah bekas ibu mentuanya kira-kira jam 7 malam, dikatakan ingin bertemu dengan tiga orang anaknya yang tinggal bersama bekas isterinya.

"Lelaki berkenaan mengetuk pintu bertanyakan mengenai anaknya namun wanita tersebut memberitahu, mereka tiada di rumah. Dia melihat bekas menantunya memegang sebilah parang panjang sebelum beredar ke surau berhampiran. Lelaki itu dikatakan masih menunggu di sekitar kawasan rumah berkenaan sehingga bekas isterinya pulang bersama tiga orang anak mereka kira-kira jam 8.30 malam.

"Dia yang masih memegang parang memanggil tiga anaknya untuk berjumpa namun mereka enggan hingga akhirnya lelaki itu beredar dari rumah berkenaan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian, hari ini.

Noorzainy berkata, bekas isteri lelaki itu membuat laporan di balai polis semalam, susulan bimbang jika berlaku perkara buruk pada masa depan.

"Kita menahan lelaki berkenaan dan dia akan disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah," katanya.

Tambah Noorzainy, berdasarkan siasatan lelaki itu bercerai dengan bekas isterinya pada Ogos lalu di Mahkamah Syariah Kepala Batas.

Artikel Berkaitan: