Mayat ditemui dalam longkang berhampiran sekolah

PERAI – Seorang lelaki ditemukan meninggal dunia di dalam longkang berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Hussein Onn, Jalan Siakap, Taman Kelisa Emas, di sini pada Jumaat.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, pihaknya menerima panggilan daripada polis pada jam 12.10 tengah hari bagi mendapatkan bantuan mengangkat mayat mangsa.
Menurutnya, sepasukan lima anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Perai bersama sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dikejarkan ke lokasi dan tiba pada jam 12.14 tengah hari.
“Ketika tiba di lokasi, pasukan mendapati terdapat seorang lelaki yang telah meninggal dunia berada di dalam longkang berkedalaman kira-kira 1.5 meter.
“Komander operasi membuat penilaian awal sebelum mengarahkan anggota lengkap dengan peralatan perlindungan diri (PPE) menjalankan kerja mengangkat dan membawa mayat ke tempat selamat,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
"Mayat mangsa berusia 37 tahun kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
"Operasi mengangkat mayat tamat sepenuhnya pada jam 12.47 tengah hari," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

