LRA Semambu, Rumah Pam Air Kobat dinaik taraf

Wan Rosdy
Wan Rosdy
A
A
A

KUANTAN - Dua Loji Rawatan Air (LRA) di Semambu dan Rumah Pam Air Kobat, Kuantan akan dinaik taraf sistem pembekalan air susulan peruntukan RM45 juta yang diluluskan dalam Belanjawan 2021 semalam.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kerja menaik taraf dua loji yang turut membekalkan air terawat ke kawasan perindustrian Gebeng di sini dapat meningkatkan keyakinan pelabur untuk melabur di kawasan perindustrian itu.

Menurutnya, menerusi peruntukan itu, Pengurusan Air Pahang Berhad (Paip) dapat menggantikan 11 pam sedia ada di rumah pam.

"Penggantian 11 pam ini dapat meningkatkan kapasiti LRA Semambu sebanyak 20 peratus, daripada 290 juta liter sehari kepada 350 juta liter sehari.

"Pihak Paip menjangkakan kerja menaik taraf ini dapat diselesaikan dalam tempoh 10 bulan, termasuk bagi proses reka bentuk dan perolehan yang dijangka mengambil masa selama empat bulan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kerajaan Pahang mengalu-alukan beberapa peruntukan yang diumumkan Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz semalam yang mempunyai kaitan secara langsung dengan negeri itu.

"Saya ucapkan terima kasih atas pengumuman peruntukan dua dua lagi projek melibatkan secara langsung negeri ini, daripada kesemua tujuh projek seluruh negara bernilai RM3.8 bilion.

"Kedua-dua projek itu ialah projek Central Spine Road (CSR) melibatkan jajaran baharu, dan projek jalan pintasan Cameron Highlands," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berharap dengan pelaksanaan kedua-dua projek itu akan meningkatkan lagi aspek kemudahan sampaian dan memendekkan tempoh perjalanan antara destinasi berkenaan.

Tambahnya, selain dapat mengatasi masalah kesesakan lalu lintas di kawasan terbabit.