Belanjawan pacu pemulihan ekonomi negara: MB Johor

Hasni Mohammad
Hasni Mohammad
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kerajaan negeri amat berbesar hati dengan peruntukan dalam Belanjawan 2021 untuk Johor yang bertujuan menjana peluang pekerjaan dan memacu pemulihan ekonomi menjelang 2021.

Menteri Besar Johor, Datuk Ir Hasni Mohammad berkata, antaranya insentif RM100 juta kepada Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) untuk program melengkapkan kemahiran baharu tenaga kerja yang terjejas akibat penutupan sempadan Malaysia-Singapura.

"Program 'reskilling' dan 'upskilling' ini tentu akan memartabatkan pembangunan modal insan, meningkatkan kebolehpasaran rakyat Johor dan memudahkan pencarian sumber pendapatan baharu," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Hasni berkata, pihaknya turut menghargai projek infrastruktur diteruskan di negeri ini seperti Landasan Berkembar Elektrik Gemas-Johor Bahru, Sistem Transit Rapid dari Johor Bahru ke Woodlands serta usaha perbincangan lanjut dengan Singapura berkenaan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR).

Katanya, projek infrastruktur itu amat penting bagi memudahkan pergerakan rakyat Johor, merangsang pembangunan kawasan baharu dan melonjakkan potensi Johor sebagai destinasi pelaburan serantau yang kompetitif.

Menurutnya, Belanjawan 2021 yang bertemakan 'Teguh Kita, Menang Bersama' secara jelas mengutamakan kesejahteraan rakyat di tengah-tengah kemelesetan ekonomi akibat pandemik koronavirus (Covid-19).

"Pelbagai peruntukan untuk memelihara kebajikan golongan rentan melalui subsidi, bantuan dan insentif memaparkan komitmen kerajaan Persekutuan yang prihatin terhadap suara hati rakyat.

"Kesimpulannya kerajaan negeri ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada kerajaan Persekutuan yang mengutamakan pemulihan ekonomi Johor dan penjanaan peluang pekerjaan bagi rakyat Johor dalam Belanjawan 2021," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau pada masa sama masih berharap kerajaan Persekutuan akan mempercepatkan usaha membuka sempadan demi merancakkan aktiviti ekonomi rentas sempadan, memudahkan mobiliti pekerja di samping meningkatkan kualiti ekosistem pelaburan di Johor.