RM300 juta biayai Skim Lestari Bumi

Peniaga kraf tangan, Jemimah Zaila tekun menonton siaran langsung secara atas talian pembentangan Belanjawan 2021 yang dibentangkan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz menerusi telefon pintar di Bazaar Karat Johor Bahru hari ini. - Foto Bernama
Peniaga kraf tangan, Jemimah Zaila tekun menonton siaran langsung secara atas talian pembentangan Belanjawan 2021 yang dibentangkan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz menerusi telefon pintar di Bazaar Karat Johor Bahru hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bagi menggalakkan perniagaan berstatus mikro dan kecil dalam kalangan bumiputera beranjak ke kategori lebih tinggi, SME Bank akan menyediakan kemudahan pembiayaan Skim Lestari Bumi sebanyak RM300 juta.

Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, kerajaan juga akan memperkenalkan platform pembayaran digital rantaian bekalan nasional (National Supply Chain Finance Platform) untuk membantu kewangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang berurusan dalam pembekalan kepada kerajaan atau syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

"Platform diberi nama 'JanaNiaga' ini akan memanfaatkan PKS yang mengalami masalah aliran tunai disebabkan tempoh pembayaran invois yang lama dan membantu PKS untuk mendapat pinjaman daripada institusi kewangan.

"JanaNiaga akan diterajui EXIM Bank akan menyediakan RM300 juta dengan penglibatan beberapa institusi kewangan untuk menggerakkan platform itu.

"Buat masa ini, JanaNiaga akan dilaksanakan bersama Petronas dan Telekom Malaysia dan ia akan diperluas kepada GLC lain, Kementerian dan agensi-agensi kerajaan pada masa depan," katanya.

Mengulas lanjut, Tengku Zafrul berkata, bagi menyokong platform pembiayaan secara peer-to-peer (P2P) terutamanya berasaskan pembiayaan invois, RM50 juta ringgit akan diperuntukkan secara pelaburan padanan.

Katanya, pembiayaan kredit mikro bernilai hampir RM1.2 bilion disediakan melalui TEKUN, PUNB, Agrobank, BSN dan institusi kewangan lain termasuk tambahan sebanyak RM110 juta kepada Micro Enterprises Facility di bawah BNM bagi menggalakkan aktiviti keusahawanan dalam kalangan pekerja gig dan yang bekerja sendiri serta menyokong pelaksanaan program iTEKAD.

"Program iTEKAD akan diperluas dengan penyertaan institusi kewangan tambahan dan kerjasama dengan lebih banyak pihak berkuasa agama negeri dan rakan pelaksanaan pada tahun 2021.

Artikel Berkaitan:

"Menerusi PUNB pula, RM230 juta disediakan sebagai pembiayaan kepada PKS bagi perbelanjaan modal kerja, peningkatan sistem automasi dan peralatan serta perbelanjaan berkaitan pelaksanaan pematuhan operasi standard prosedur (SOP) Covid-19," katanya.