PeKT ditubuhkan di negeri pembangkang

Rashid ketika sidang akhbar di pejabatnya di Plaza Masalam hari ini.
Rashid ketika sidang akhbar di pejabatnya di Plaza Masalam hari ini.
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menubuhkan Penggerak Komuniti Tempatan (PeKT) di setiap negeri pembangkang untuk menjadi mata dan telinga buat kerajaan.

Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Selangor, Datuk Rashid Asari berkata, PeKT yang ditubuhkan bermula Oktober lalu akan memainkan peranan seperti ahli majlis di setiap pihak berkuasa tempatan (PBT) dengan 288 jawatan pegawai untuk diisi daripada komponen Perikatan Nasional (PN).

Beliau berkata, peranan pegawai PeKT amat penting bagi melaporkan maklumat berkaitan masyarakat contohnya seperti kejadian kebakaran, banjir, jalan rosak dan lain-lain lagi.

"Mereka akan berikan maklumat berkaitan supaya tindakan dapat diambil segera bagi membantu masyarakat.

"Kita mengucapkan terima kasih kepada KPKT yang mewujudkan jawatan ini bagi membolehkan kita menyampaikan perkhidmatan kepada masyarakat," katanya ketika sidang akhbar di pejabatnya hari ini.

Dalam pada itu, Rashid yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selat Klang berkata, pegawai PeKT yang dilantik juga akan menerima elaun sebanyak RM2,000 sebulan dengan peruntukan RM10,000 setahun.

Rashid berkata, peruntukan yang disalurkan itu disalurkan bagi membolehkan PeKT melaksanakan program dan projek buat masyarakat setempat.

"Saya harap mereka yang dilantik akan menjalankan tugas dengan sempurna, berhemah dan dedikasi.

Artikel Berkaitan:

"Hasrat kami adalah walaupun berada di negeri pembangkang, mereka akan tetap dapat jalankan tanggungjawab untuk pastikan isu rakyat dapat diangkat terus kepada menteri," katanya.