Pemuda UMNO negeri, bahagian lapor polis isu ingkar titah Agong

SHAH ALAM - Pemuda UMNO menggesa titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dilaksanakan segera bagi membolehkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah sebagaimana diperkenankan.
Ketua Pemudanya, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, sebarang proses lanjut termasuk rujukan mahkamah tidak wajar dijadikan alasan untuk menangguhkan pelaksanaan titah yang dinyatakan oleh Baginda sebagai 'jelas dan tanpa ambiguiti'.
Atas dasar itu, Dr Muhamad Akmal memaklumkan bahawa Pemuda UMNO di peringkat negeri dan bahagian akan membuat laporan polis berhubung perkara tersebut.
Tegasnya, ia bagi membolehkan pihak berkuasa meneliti sama ada terdapat sebarang pelanggaran undang-undang dalam pelaksanaan titah dan perintah mahkamah itu.
"Seperti yang dititahkan, kuasa pengampunan merupakan prerogatif diraja di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan dan pelaksanaannya 'hendaklah dihormati selaras kedudukan Raja Berperlembagaan serta prinsip kedaulatan undang-undang'.
"Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia akan terus menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong dan mempertahankan kedaulatan undang-undang serta keluhuran Perlembagaan Persekutuan," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Sabtu.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan, Yang di-Pertuan Agong menitahkan bahawa sebarang hujah yang mempertikaikan perintah pengampunan bersyarat membolehkan Najib menjalani baki hukuman pemenjaraan secara tahanan di rumah menjurus ke arah mengingkari perintahnya.
Baginda bertitah, tidak sepatutnya timbul kekeliruan dalam mentafsir perintah berkenaan kerana keputusan yang diperkenankan itu jelas, nyata dan tanpa sebarang ambiguiti.
Susulan itu, Jabatan Peguam Negara (AGC) mengeluarkan kenyataan sambil menegaskan tidak pernah mempertikai, mengetepikan atau berhasrat menggantung Perintah Pengampunan Bersyarat diperkenan Yang di-Pertuan Agong kepada bekas ahli Parlimen Pekan terbabit.
Jelas AGC, pihaknya sentiasa menjunjung kedaulatan undang-undang, menghormati kedudukan institusi Yang di-Pertuan Agong serta mengiktiraf prerogatif pengampunan baginda sebagaimana diperuntukkan mengikut Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

