Warga Malaysia dijel seumur hidup, 18 sebatan di Singapura

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

SINGAPURA - Seorang pekerja pembersihan warga Malaysia dijatuhi hukuman penjara seumur hidup dan 18 sebatan oleh Mahkamah Singapura atas pertuduhan menyebabkan kematian penyelianya dengan menggunakan pemotong rumput pada 2016.

Peguam Johannes Hadi daripada firma guaman Eugene Thuraisingam LLP yang mewakili Ahmad Muin Yaacob, 27, mengesahkan perkara itu kepada Bernama.

"Hukuman terhadap Ahmad Muin bermula daripada tarikh dia ditangkap pada 19 Disember 2016,” kata Johannes.

Selain Johannes, turut mewakili Ahmad Muin ialah Eugene Thuraisingam dan Chooi Jing Yen.

Ahmad Muin, pekerja CSP Maintenance Pte Ltd, dituduh menyebabkan kematian Maimunah Awang, 54, warga Singapura yang merupakan penyelia pekerja pembersihan di Terminal Feri Tanah Merah di sini pada 24 November 2016.

Selepas kejadian pada hari yang sama, Ahmad Muin lari meninggalkan Singapura untuk pulang ke kampungnya di Pasir Puteh, Kelantan.

Mayat Maimunah ditemukan di dalam longkang sedalam 1.8 meter, di luar bilik pekerja pembersihan pada 25 November 2016.

Hasil bedah siasat mengesahkan punca kematian mangsa disebabkan pendarahan akibat luka tikaman pada leher dan kecederaan di kepala.

Artikel Berkaitan:

Pada 18 Disember 2016, Polis Diraja Malaysia mengarahkan Ahmad Muin hadir ke balai polis bagi membantu siasatan susulan permintaan polis Singapura.

Lelaki itu kemudian ditahan dan diserahkan kepada polis Singapura pada keesokan harinya.- Bernama