Pintu sempadan negara masih ditutup

Ismail Sabri pada sidang akhbar perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di Kuala Lumpur hari ini.
Ismail Sabri pada sidang akhbar perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di Kuala Lumpur hari ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Malaysia masih kekal menutup pintu sempadan negara kepada warga asing, sebagai usaha membendung penularan pandemik Covid-19, kata Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, dengan terus mengekalkan pelaksanaan polisi ini, warga asing dari 23 negara berisiko tinggi termasuk Bangladesh, tidak dibenarkan memasuki Malaysia kecuali dengan kebenaran Jabatan Imigresen Malaysia.

"Bangladesh merupakan salah satu daripada 23 negara yang diperketatkan kemasukan kerana tergolong dalam negara yang berisiko tinggi Covid-19.

"Jabatan Imigresen belum lagi menukar polisi ini atau mencadangkan kepada kerajaan untuk melonggarkan kemasukan (pekerja warga asing)," katanya pada sidang akhbar perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di sini hari ini.

Bagaimanapun, Ismail Sabri berkata, kerajaan Malaysia sedia mengadakan perbincangan bersama wakil negara Bangladesh berkaitan perkara tersebut.

Beliau menjelaskan demikian ketika ditanya sama ada kerajaan akan membenarkan ribuan pekerja warga Bangladesh yang terkandas di negara itu untuk memasuki Malaysia, ketika penularan Covid-19 kini.

Selain Bangladesh, kerajaan turut menutup pintu sempadan kepada Amerika Syarikat, Brazil, India, Rusia, Peru, Colombia, Afrika Selatan, Mexico, Sepanyol, Argentina, Chile, Iran, United Kingdom, Arab Saudi, Pakistan, Perancis, Turki, Itali, Jerman, Iraq, Filipina dan Indonesia.

Sementara itu, mengenai peperiksaan Persatuan Akauntan yang disahkan bertauliah (ACCA) dan Penganalisis Kewangan Bertauliah (CFA), Ismail Sabri berkata, setakat ini Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) belum mengumumkan atau menarik balik kebenaran mengadakan peperiksaan itu.

Artikel Berkaitan:

“Saya difahamkan setakat ini, KPT meneruskan peperiksaan dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat dari segi penjarakkan sosial dan tempoh berada dalam peperiksaan juga dihadkan," katanya.

Bagaimanapun, katanya, perkara itu akan dibincangkan dengan pihak KPT untuk melihat keperluan sama ada untuk meneruskan peperiksaan itu.

Mengenai majikan yang masih ingkar arahan PKPB dengan mengadakan mesyuarat, beliau berkata majikan boleh dikenakan tindakan termasuk kompaun. -Bernama