Kakitangan Malindo diberhentikan terima faedah SIP

M Saravanan
M Saravanan
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Sumber Manusia (KSM) memberi jaminan kesemua 2,647 kakitangan Malindo Airways Sdn Berhad (Malindo) yang diberhentikan pada 1 November lalu akan menerima faedah kehilangan pekerjaan melalui Sistem Insurans Pekerjaan (SIP).

Menterinya, Datuk Seri M Saravanan dalam kenyataan berkata, 439 kakitangan syarikat itu yang menerima notis cuti tanpa gaji untuk tempoh satu tahun juga boleh mengemukakan tuntutan kehilangan pekerjaan di bawah SIP.

"Mereka boleh menganggap bahawa kontrak perkhidmatan telah terputus dan seterusnya mengemukakan tuntutan SIP bagi mendapat bantuan untuk kelangsungan hidup sementara mendapat pekerjaan baharu," katanya.

Menurutnya, pemulihan sektor penerbangan dijangka mengambil masa yang lama sehingga tahun 2023 memaksa majikan mengambil keputusan untuk melepaskan pekerja bagi mengelakkan syarikat menanggung kerugian berterusan.

"Pekerja yang terlibat dengan pemberhentian kerja dinasihatkan supaya segera mengemukakan permohonan faedah SIP secara dalam talian melalui eis.perkeso.gov.my atau hadir di mana-mana pejabat Perkeso yang berhampiran," katanya.

Beliau berkata, selain faedah SIP, Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) akan membantu mereka yang terjejas dalam carian pekerjaan melalui portal MYFutureJobs.

"Kakitangan Malindo Airways juga layak untuk mengikuti program latihan (reskilling, upskilling) yang disediakan oleh Perkeso atau Pembangunan Sumber Manusia Berhad (PSMB), di mana yuran latihan ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan," katanya.

Pada 12 Oktober lalu, media melaporkan syarikat itu bakal menamatkan perkhidmatan 2,200 pekerjanya susulan terjejas akibat pandemik Covid-19.

Artikel Berkaitan:

Proses pemberhentian itu dijangka selesai akhir bulan ini.