Peruntukan RM3 juta bantu anak istimewa di Selangor

Gambar kecil: Dr Siti Mariah Mahmud
Gambar kecil: Dr Siti Mariah Mahmud
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan negeri Selangor memperuntukkan sebanyak RM3 juta setahun melalui Program Intervensi Awal Kanak-kanak atau Early Intervention Programme (EIP) khusus bagi membantu golongan anak istimewa di negeri ini.

Exco Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam, Perpaduan, Pembangunan Wanita dan Keluarga Selangor, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, peruntukan itu secara langsung untuk membantu golongan anak istimewa di Selangor mendapatkan perkhidmatan pendidikan, terapi dan pemulihan dalam memenuhi keperluan mereka.

"Antara program yang telah disediakan adalah Program Bantuan Kewangan Kepada Institusi EIP, Program Bantuan Khas Didik Anis dan Program Pendidikan Bersama Cikgu Anis.

"Selain itu, kerajaan negeri juga telah memperkenalkan Program Kasih Ibu Smart Selangor Ibu Tunggal (KISS IT) yang mana ia

ditambah baik daripada program KISS sedia ada sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berikutan penularan pandemik Covid-19," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan daripada G Gunaraj (PH-Sentosa) yang bertanyakan mengenai usaha yang akan diambil oleh kerajaan negeri bagi membantu golongan orang kurang upaya (OKU) yang gagal mendapatkan bantuan kebajikan pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, di sini hari ini.

Katanya, selain itu, golongan istimewa ini juga berpeluang untuk menerima manfaat melalui Skim Mesra Usia Emas (SMUE) OKU yang turut dikendalikan oleh Yayasan Warisan Anak Selangor (Yawas).

"Ahli SMUE OKU akan diberi baucar beli belah sebanyak RM100 yang boleh digunakan di pasar raya terpilih di kawasan mereka mengikut bulan kelahiran ahli SMUE OKU berkenaan.

Artikel Berkaitan:

"Sebagai makluman, mengikut data yang direkodkan oleh Yawas sehingga 15 Oktober 2020, jumlah warga OKU yang mendaftar di bawah SMUE adalah seramai 18,986 orang," katanya.

Menurutnya, pada masa sama Jabatan Kebajikan Masyarakat menyediakan tiga jenis bantuan kepada golongan OKU.

"Antaranya Elaun Pekerja Cacat, Bantuan Pesakit Terlantar dan Bantuan OKU Tidak Upaya Bekerja.

"Semua OKU yang memenuhi syarat perlu membuat permohonan kepada pihak JKM bagi mendapatkan bantuan-bantuan ini," katanya.