Cemar sungai: 61 premis diheret ke mahkamah, denda RM1.5 juta

A
A
A

KUALA LUMPUR - Sebanyak 61 premis telah dibawa ke mahkamah dan dikenakan denda berjumlah RM1.5 juta atas kesalahan berkaitan pencemaran air dan pengurusan buangan berjadual bagi tempoh 1 Januari sehingga 30 September tahun ini.

Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, kutipan denda melalui tindakan kompaun adalah sebanyak RM4.6 juta menjadikan jumlah keseluruhan denda sebanyak RM6.1 juta.

Menurutnya, secara keseluruhan Jabatan Alam Sekitar (JAS) telah menjalankan sebanyak 17,445 pemeriksaan ke atas premis-premis tertakluk Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 di seluruh negara dan menerima 7,872 aduan berhubung dengan pencemaran alam sekitar dalam tempoh tersebut.

"Sebanyak 1,159 tindakan undang-undang ke atas 636 premis yang didapati tidak mematuhi perundangan berkaitan dengan pencemaran air. Ini merangkumi 751 kompaun, 380 kompaun, 380 notis arahan dan lain-lain.

"Sebanyak 5,700 tindakan undang-undang pula diambil ke atas 2,323 premis yang didapati tidak mematuhi perundangan berkaitan pengurusan buangan terjadual. Ini merangkumi 4,564 kompaun, 1,130 notis arahan, dua premis digantung lesen dan lain-lain," katanya di Dewan Rakyat di sini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan lisan Datuk Seri Hasab Arifin (BN-Rompin) mengenai jumlah syarikat yang telah dikenakan tindakan undang-undang ke atas kesalahan menyebabkan pencemaran sungai.

Tuan Ibrahim menjawab soalan itu bersekali dengan 13 lagi pertanyaan berhubung iau sama iaitu berkaitan pencemaran sumber air yang menjejaskan operasi loji rawatan air.

Sementara itu, dalam perkembangan sama, beliau turut memaklumkan Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) telah mengemukakan cadangan kepada Jabatan Perdana Menteri (JPM) untuk melaksanakan projek takungan air pinggiran sungai (TAPS) dalam Rancangan Malaysia ke-12 sebagai sumber air alternatif bagi meminimumkan gangguan bekalan akibat insiden pencemaran air dan cuaca kering.

Artikel Berkaitan:

"TAPS ini juga akan berfungsi sebagai mekanisme kawalan banjir. Di bawah RMK-11, empat projek TAPS telah diluluskan iaitu TAPS Jernih, TAPS Melaka, TAPS Sungai Johor dan TAPS Linggi dengan peruntukan keseluruhan RM1.4 bilion.

"Selain itu, bagi Sungai Semenyih dan Kuala Selangor, KASA menyasarkan untuk membina dua TAPS yang mampu menampung sekiranya berlaku gangguan ataupun pencemaran kepada sungai tersebut iaitu TAPS Putrajaya dan TAPS Rasau sebagai sumber air alternatif," katanya.