Parlimen: Tujuh disahkan positif Covid-19

Dr Noor Hisham -Foto Bernama
Dr Noor Hisham -Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Tujuh individu yang sepatutnya bertugas di Parlimen disahkan positif koronavirus (Covid-19) oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham berkata, individu terbabit termasuk seorang polis bantuan dan isterinya.

"Turut didapati positif adalah seorang pembantu senator dan seorang petugas media," katanya pada sidang media perkembangan terkini Covid-19 di kementeriannya di sini hari ini.

Menurutnya, selepas melakukan saringan, tiga lagi rakan sekerja polis bantuan tersebut turut didapati positif Covid-19.

"Kita juga telah melakukan saringan terhadap tujuh ahli keluarga petugas media namun keputusan masih belum diperoleh," katanya.

Beliau berkata, sebanyak 12 kontak rapat kepada pembantu senator tersebut telah dikenal pasti.

"Walaupun pembantu itu positif, mereka (kontak rapat) mungkin dalam tempoh inkubasi jadi kami kuarantinkan kesemuanya," katanya.

Dr Noor Hisham berkata, punca jangkitan terhadap kes tersebut masih belum dikenal pasti.

Artikel Berkaitan:

"Ada tempoh enam minggu dari hari terakhir Dewan Negara bersidang pada September lalu sehingga mereka menjalani ujian saringan minggu lalu," katanya.

Menurutnya, ia merupakan cabaran kepada KKM kerana hanya 30 hingga 40 peratus dapat dikesan positif daripada mereka yang bergejala.

"Bagaimanapun, kita semua tahu mereka mungkin tidak bergejala.

"Jangkitan boleh berlaku dua hari sebelum simptom muncul dan tujuh hari selepas simptom," katanya.

Terdahulu, Senator Dewan Negara, Ras Adiba Radzi mengesahkan pegawai khas yang juga adiknya disahkan positif Covid-19.

Sementara itu, Sidang Dewan Rakyat yang berlangsung hari ini ditamatkan jam 1 petang berikutan kebimbangan Covid-19.