X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 01 Disember 2021

Tempoh tahan reman ‘Datuk’ Addy Kana, dua polis kekal

Mahkamah Tinggi di sini hari ini mengekal tempoh tahanan reman POCA selama 38 hari membabitkan tiga lelaki termasuk seorang ‘Datuk’.
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Mahkamah Tinggi di sini hari ini mengekalkan tempoh tahanan reman Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA) selama 38 hari membabitkan tiga lelaki iaitu seorang ‘Datuk’ dan dua anggota polis yang dipercayai terlibat kes judi dalam talian.

Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Aslam Zainuddin membuat keputusan itu selepas mendengar hujahan daripada pihak pemohon dan responden.

Permohonan itu dikemukakan oleh Zaidi Kanapiah atau lebih dikenali sebagai 'Datuk' Addy Kana serta dua anggota polis, Koperal Muhamad Amin Nur Rashid Mohamed Puad dan Mohd Hairy Mohammad.

Ketika hujahan, peguam Datuk Seri Gopal Sri Ram yang mewakili pemohon berkata, perintah tahanan reman bertarikh 14 Oktober lalu yang membenarkan reman selama 21 hari di bawah Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Jenayah adalah tidak sah, tidak berasas, tidak mematuhi prosedur dan bersifat male fide (berniat jahat).

Selain itu katanya, penahanan terhadap ketiga-tiga pemohon adalah tidak terpakai kerana ia adalah di luar skop POCA.

Bagaimanapun, Peguam Kanan Persekutuan, Muhammad Sinti yang mewakili responden iaitu Asisten Superintendan Khairul Rairoz Rodzuan, Majistret Mahkamah, Ketua Polis Negara dan kerajaan Malaysia berkata, Mahkamah Majistret mempunyai kuasa untuk melanjutkan reman terhadap ketiga-tiga pemohon.

Malah beliau berkata, semua keperluan prosedur untuk tahanan di bawah POCA telah dipatuhi.

Turut hadir dalam prosiding itu ialah isteri Zaidi, yang dikenali sebagai 'Datin' Alyaa.

Selain Sri Ram, peguam lain yang mewakili ketiga-tiga pemohon ialah Gobind Singh Deo, Jacky Loi Yap Long dan Shah Rizal Abdul Manan.

Pada 30 Oktober lalu, Mahkamah Majistret di sini melanjutkan tempoh tahanan reman selama 38 hari lagi, sehingga 6 Disember depan.

Majistret M Mageswary mengeluarkan perintah itu dan membenarkan permohonan pihak polis untuk melanjutkan tempoh tahanan reman terhadap kesemua suspek lelaki berusia antara 34 hingga 39 tahun.

Pada 19 Oktober lalu, ketiga-tiga pemohon memfailkan permohonan semakan di Mahkamah Tinggi di sini berhubung penahanan mereka di bawah POCA.

Ia selepas mereka direman selama 21 hari di Mahkamah Majistret sama, pada 14 Oktober lalu.

Tahanan reman di bawah POCA mengikut Seksyen 4 (1)(a) 1959 itu sepatutnya tamat esok.

Pada 13 Oktober lalu, media melaporkan mahkamah menolak permohonan reman oleh pihak polis, membabitkan tiga individu.

Mereka sebelum ini ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung kegiatan pengubahan wang haram didalangi sindiket penipuan Macau Scam dan judi dalam talian.

Bagaimanapun, ketiga-tiga mereka ditahan semula bagi membantu siasatan berhubung satu lagi kes perjudian haram yang dilaporkan berlaku di Cheras.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!