KKMM mahu internet jadi antara utiliti utama negara

Hubungan dan kegunaan internet di negara ini dapat diletakkan sebaris dengan utiliti utama negara selepas bekalan air dan elektrik. - Foto 123RF
Hubungan dan kegunaan internet di negara ini dapat diletakkan sebaris dengan utiliti utama negara selepas bekalan air dan elektrik. - Foto 123RF
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) mengulangi hasrat menjadikan kesalinghubungan internet di negara ini dapat diletakkan sebaris dengan utiliti utama negara selepas bekalan air dan elektrik.

Menterinya, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, perkara itu dibentangkan dalam mesyuarat jawatankuasa fizikal negara dipengerusikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyuddin Yassin dua minggu lalu.

Justeru, beliau meletakkan harapan untuk cadangan polisi itu turut diketengahkan dalam pembentangan Belanjawan 2021 Jumaat ini.

"Kita berharap kesalinghubungan internet itu akan diterima sebagai utiliti ketiga dan ini tidak melibatkan soal dana kerana dana itu sudah sedia ada.

"Ia mengambil kira polisi menjadikannya sebagai utiliti awam seperti kepentingan bekalan air dan elektrik," katanya ketika ditemui selepas sesi Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen ke-14 hari ini.

Beliau menjawab soalan media berkenaan harapan peruntukan Belanjawan 2021 untuk kementerian itu.

Menurutnya, secara asasnya cadangan tentang hasrat tersebut dipersetujui mesyuarat jawatankuasa fizikal negara.

"Perkara sama juga dinyatakan kepada beberapa menteri besar dan ketua menteri. Saya rasa mereka faham kenapa kita kena laksanakan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, beliau berpendapat pembentangan Belanjawan 2021 akan mendapat sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat dengan mengambil kira suasana persidangan Dewan Rakyat yang berlangsung positif hari ini.

"Saya dapat rasakan, dalam kalangan ahli Parlimen pada peringkat awal terasa macam perasaan yang berbelah bahagi sejak dua minggu lalu, namun hari ini semua datang dengan semangat tinggi menyedari persidangan kali ini penting untuk fokus Belanjawan 2021.

"Perjumpaan bersama antara pemimpin termasuk pembangkang dengan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz beberapa hari lalu juga berlangsung dengan produktif," katanya.