Cadang benarkan keluar akaun 1 KWSP untuk bayar pinjaman

Mohd Sharkar Shamsuddin
Mohd Sharkar Shamsuddin
A
A
A

KUANTAN - Kerajaan sewajarnya memberi kelonggaran khususnya kepada rakyat yang sedang dihimpit kesusahan untuk membenarkan pengeluaran simpanan dari Akaun Satu Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mereka.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin berkata, beliau mencadangkan supaya kerajaan membenarkan pencarum untuk mengeluarkan simpanan dari akaun hanya untuk tujuan membayar pinjaman sama ada rumah, kenderaan atau pinjaman peribadi.

Menurutnya, langkah itu wajar kerana bukan semua rakyat layak memperoleh lanjutan moratorium bersasar sehingga bulan Disember ini.

"Biarpun ada yang mendapat pengurangan bayaran bulanan terhadap pinjaman mereka, masih ramai lagi terbeban kerana keadaan ekonomi belum pulih sepenuhnya.

"Sekiranya langkah ini dilaksanakan, simpanan dikeluarkan itu dapat meringankan beban rakyat untuk mengurangkan jumlah pinjaman masing-masing," katanya melalui satu kenyataan di Facebooknya, hari ini.

Mohd Sharkar berkata, beliau sendiri membaca pelbagai komen daripada netizen khususnya di laman media sosial Facebook mengenai pandangan orang ramai berhubung cadangan pengeluaran simpanan KWSP secara 'one off' sehingga RM10,000 seperti dicadangkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Rata-rata rakyat mahu kerajaan melaksanakan cadangan tersebut kerana bagi pencarum, duit yang mahu dibawa keluar itu adalah duit mereka.

"Di pihak kerajaan pula, seperti dinyatakan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, adalah sukar untuk kerajaan melaksanakan cadangan itu,"katanya.

Artikel Berkaitan:

Justeru, beliau yang juga Exco Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Pahang berkata, dalam keadaan rakyat ketika ini sedang berdepan kesukaran hidup ekoran penularan pandemik koronavirus (Covid-19), cadangan itu wajar dipertimbangkan kerajaan untuk membantu rakyat yang terjejas.