Utamakan rakyat tempatan kerja sektor ladang, perindustrian

Gambar kecil: Arthur Joseph Kurup
Gambar kecil: Arthur Joseph Kurup
A
A
A

KOTA KINABALU - Tawaran pekerjaan dalam sektor perladangan dan perindustrian kepada warga asing perlu menjadi pilihan paling terakhir jika rakyat tempatan tidak dapat mengisi kekosongan di sektor itu.

Timbalan Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Arthur Joseph Kurup berkata, pandemik koronavirus (Covid-19) yang melanda negara menyebabkan ramai rakyat tempatan terutama golongan muda kehilangan pekerjaan.

"Ada kalangan mereka yang terpaksa pulang ke kampung mengusahakan tanah terbiar, ada juga yang bekerja sebagai penghantar makanan, berniaga kecil-kecilan dan sebagainya semata-mata untuk mencari sumber pendapatan," katanya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas cadangan kerajaan Persekutuan mengeluarkan permit kerja sementara kepada pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam sektor perladangan dan perindustrian bagi mengatasi kekurangan tenaga buruh asing di sektor itu baru-baru ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Kerajaan pertimbang beri permit kerja sementara kepada PATI

Pemilik ladang sedia tanggung caj kuarantin Covid-19: MPOA

FGV mahu kurangkan 10 peratus pekerja asing

Arthur yang juga Ahli Parlimen Pensiangan berkata, menurut statistik Tenaga Buruh Malaysia yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) pada Ogos lalu, kadar pengangguran di negara ini adalah seramai 741,600 orang atau 4.7 peratus.

Artikel Berkaitan:

"Ini menunjukkan kadar pengangguran yang agak tinggi dan bererti ramai rakyat tempatan sedang mencari peluang pekerjaan. Jadi kerajaan perlu melihat kepada angka ini dengan memberi keutamaan kepada mereka untuk bekerja di sektor berkenaan.

"Jangan kita anggap mereka (rakyat) tidak mahu bekerja kalau kita tidak tawarkan peluang pekerjaan ini kepada mereka. Jika peluang pekerjaan itu diberikan kepada rakyat tempatan, secara tidak langsung akan membantu memulihkan kembali ekonomi negara kita.

"Apabila ada pekerjaan, rakyat akan ada pendapatan. Apabila ada pendapatan rakyat akan berbelanja," katanya.

Menurutnya, peluang pekerjaan dalam sektor perladangan dan perindustrian juga perlu dinaik taraf supaya sektor ini dapat menarik minat golongan belia untuk menyertainya sekali gus akan dapat mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing.

"Apabila peluang pekerjaan ini diisi rakyat tempatan maka kita dapat mengurangkan pengaliran wang ke luar negara dan wang itu boleh terus kekal dalam negara untuk merangsang ekonomi," katanya.

Katanya. cadangan kerajaan Persekutuan mengeluarkan permit kerja sementara kepada PATI memerlukan kajian secara menyeluruh.

"Jika tawaran itu dibuat ia perlu disusuli dengan langkah dan prosedur yang ketat supaya ia tidak disalah guna pihak yang tidak bertanggungjawab.

Arthur sebagai wakil PBRS yang juga sebahagian dalam kerajaan Persekutuan berkata, pihaknya akan sentiasa memastikan keutamaan peluang pekerjaan diberikan kepada rakyat tempatan terutamanya di Sabah.

"Kita tetap konsisten dan akan pastikan kerajaan Persekutuan tidak melaksanakan pemberian permit kerja sementara kepada PATI di Sabah.

"Segala usaha dalam mengembangkan ekonomi perlu diberikan keutamaan kepada rakyat tempatan khususnya di Sabah supaya dapat mengurangkan penghijrahan belia Sabah ke luar negeri untuk mencari rezeki," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: 'Ambil rakyat tempatan bekerja, bukan PATI'