Pemilik ladang sedia tanggung caj kuarantin Covid-19: MPOA

Pemilik ladang kelapa sawit bersedia untuk menyerap kesemua caj kuarantin Covid-19 yang dikenakan kerajaan dalam usaha mengekang kekurangan tenaga kerja asing pada masa ini. Gambar hiasan. - Foto Bernama
Pemilik ladang kelapa sawit bersedia untuk menyerap kesemua caj kuarantin Covid-19 yang dikenakan kerajaan dalam usaha mengekang kekurangan tenaga kerja asing pada masa ini. Gambar hiasan. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pemilik ladang kelapa sawit bersedia untuk menyerap kesemua caj kuarantin koronavirus (Covid-19) yang dikenakan kerajaan dalam usaha mengekang kekurangan tenaga kerja pada masa ini.

Ketua Eksekutif Persatuan Minyak Sawit Malaysia (MPOA), Datuk Mohd Nageeb Abdul Wahab berkata, kekurangan tenaga kerja menyebabkan kerugian perolehan minyak sawit sebanyak 25 peratus.

"Kami sanggup membayar caj kuarantin dan mematuhi semua prosedur operasi standard (SOP) yang akan diperkenalkan kerajaan.

“Tetapi tolong benarkan semua pekerja yang balik bercuti kembali bekerja di sini," katanya dalam rancangan bual bicara di TV3 baru-baru ini.

Menurutnya, persatuan itu mencadangkan tiga perkara dalam senarai 'permintaan' Belanjawan 2021 bagi melindungi kesejahteraan industri minyak sawit serta hampir satu juta pekebun kecil dan pada masa yang sama meningkatkan pendapatan negara dari sektor pertanian.

Terdahulu beliau dilaporkan sebagai berkata, industri itu sebelum Covid-19 berdepan dengan kekurangan 36,000 pekerja.

Malaysia pengeluar minyak sawit kedua terbesar dunia yang bergantung kepada pekerja dari negara seperti Indonesia dan Bangladesh kerana kedua-dua negara ini 84 peratus daripada tenaga kerja ladang.

Tatkala pandemik menyerang dan sempadan mula ditutup, ribuan pekerja asing meninggalkan estet kelapa sawit untuk kembali ke negara masing-masing dan sukar untuk mencari pengganti pekerja tersebut.

Artikel Berkaitan:

Katanya, untuk permintaan kedua pula, MPOA mahu kerajaan untuk tidak membekukan pengambilan pekerja asing sambil menambah keputusan untuk melarang pengambilan pekerja boleh "membinasakan” industri berkenaan.

“Industri memerlukan lebih ramai tenaga kerja, contohnya untuk operasi penuaian. Dengan harga MSM pada masa ini diniagakan pada RM3,000 satu tan, kalau kita tidak ada pekerja, apa yang kita dapat?” katanya.

Bagi permintaan ketiga, kerajaan diharapkan dapat memberikan pelepasan cukai berganda untuk semua yang mengguna pakai penjenteraan dalam industri.

Sementara itu apabila ditanya mengenai harga purata MSM untuk baki tahun 2020, beliau berkata komoditi itu akan diniagakan antara RM2,500 dan RM2,600 setiap tan berbanding RM2,000 setiap tan tahun lepas.

"Harga MSM cukup baik tahun ini dan dibandingkan dengan tahun lepas kenaikannya agak ketara. Beralih ke separuh pertama tahun hadapan, harga MSM akan lebih memberangsangkan kerana jangkaan berlakunya La Nina dan ini akan mengurangkan pengeluaran tanaman," katanya.

MPOA mempunyai seramai 122 ahli termasuk syarikat perladangan tempatan yang besar seperti IOI Corp, Kuala Lumpur Kepong Bhd, Sime Darby Plantation dan FGV Holdings Bhd.

Industri ini menghasilkan kira-kira 20 juta tan minyak sawit setiap tahun yang merupakan 28 peratus daripada bekalan minyak sawit dunia dan secara konsisten menyumbang sekitar lima peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Industri ini juga merupakan majikan kedua terbesar selepas kerajaan, yang menggaji sekitar 750,000 pekerja. Pada tahun 2019, hasilnya berjumlah RM65 bilion. - Bernama