LFS Terengganu tutup sementara bermula esok

LFS Terengganu di PB Square di sini akan menutup sementara operasi bermula esok selepas penurunan mendadak jumlah pelanggan. (Gambar kecil: Mohd Zulmajdi Razali )
LFS Terengganu di PB Square di sini akan menutup sementara operasi bermula esok selepas penurunan mendadak jumlah pelanggan. (Gambar kecil: Mohd Zulmajdi Razali )
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Operasi Lotus Five Star Cinemas (LFS) di Paya Bunga (PB) Square di sini akan ditutup sementara bermula esok selepas penurunan mendadak pelanggan.

Pengurusnya, Mohd Zulmajdi Razali berkata, jumlah pengunjung merosot sehingga 95 peratus dalam tempoh empat bulan pawagam itu beroperasi.

"Jumlah pengunjung pada Julai lalu hanya 4,723 orang berbanding 57,131 pelanggan yang direkodkan dalam tempoh sama tahun sebelumnya.

“Kedatangan pengunjung terus merosot pada Ogos dengan 5,626 orang bersamaan pengurangan sebanyak 84,693 orang daripada 90,319 orang yang diterima dalam tempoh sama 2019. Keadaan ini telah menjejaskan pendapatan perniagaan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Katanya, langkah sama diambil seperti pawagam lain di seluruh negara selaras keputusan Persatuan Pemamer Filem Malaysia (MAFE).

"Kita tidak mampu menampung kos operasi disebabkan pengurangan pelanggan akibat pandemik koronavirus (Covid-19). Tambahan pula kita dapati tiada filem 'blockbuster' baharu yang boleh menarik pengunjung.

"Bagaimanapun, kita akan sentiasa ada bagi memastikan pawagam ini diselenggara untuk mengelak sebarang kerosakan," katanya.

Terdahulu, MAFE dalam kenyataan yang dikeluarkan semalam berkata, langkah penutupan itu diambil berikutan tidak dapat menampung kos operasi harian yang tinggi sejak operasi semula Julai lalu.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, katanya, faktor lain yang menjejaskan pendapatan pawagam di negara ini ialah ketiadaan filem 'blockbuster' dari Hollywood dan penetapan tempat duduk mengikut prosedur operasi standard (SOP).

LFS Kuala Terengganu mula membuka operasi pada Mac 2017, menjadi pawagam pertama di Malaysia yang melaksanakan zon pengasingan tempat duduk bagi lelaki, wanita dan keluarga yang dikuatkuasakan pada Julai lalu.