3,768 kes, enam kematian akibat denggi di Kelantan

568866
568866
A
A
A

KOTA BHARU - Sebanyak 3,768 jumlah kumulatif kes denggi dengan enam kes kematian akibat penyakit itu dicatatkan di Kelantan dalam tempoh Januari hingga kini, kata Pengarah Kesihatan Negeri Kelantan Datuk Dr Zaini Hussin.

Beliau berkata, ini sekali gus menunjukkan penurunan sebanyak 26.68 peratus berbanding 5,139 kes dengan enam kematian bagi tempoh yang sama pada tahun lepas.

“Di samping itu, sejumlah 356 episod wabak denggi telah dilaporkan di Kelantan berbanding 396 episod wabak denggi dalam tempoh yang sama pada 2019. Pada masa ini, sebanyak lima lokaliti wabak denggi yang aktif di seluruh negeri ini,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Jelasnya lagi, pada minggu lepas hingga semalam, sebanyak 17 kes denggi dilaporkan berbanding minggu sebelumnya iaitu 21 kes.

“Daerah Kota Bharu menunjukkan peningkatan kes berbanding minggu sebelumnya iaitu 15 kes pada minggu lepas berbanding 14 kes minggu sebelumnya iaitu peningkatan satu kes,” katanya.

Sementara itu, Dr Zaini berkata, melalui hasil pemeriksaan Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) mendapati sebanyak 14,670 daripada 338,136 premis dan kediaman penduduk mempunyai tempat pembiakan jentik-jentik atau aedes.

“JKNK juga telah mengeluarkan sebanyak 2,492 kompaun yang dicadang dengan nilai RM1,246,000,” katanya yang turut memaklumkan sebanyak 797 notis dikeluarkan bagi arahan kerja pembersihan dan pemusnahan tempat berpotensi menjadi pembiakan aedes.

Menurut beliau, mengikut Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit (APSPP) 1975, sekiranya kediaman seseorang itu berada di kawasan wabak denggi dan hasil pemeriksaan menjumpai pembiakan nyamuk aedes, maka kompaun maksimum sebanyak RM500 akan dikeluarkan dan tidak dibenarkan untuk rayuan pengurangan.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, Dr Zaini berkata peningkatan kes denggi dijangka berterusan sekiranya masyarakat masih tidak peduli untuk memastikan persekitaran rumah masing-masing bebas daripada tempat pembiakan nyamuk aedes.

“JKNK memandang berat serta menyeru seluruh lapisan masyarakat agar segera membuat pemeriksaan sendiri persekitaran rumah kediaman atau premis masing-masing dengan memastikan tiada tempat pembiakan nyamuk aedes di dalam dan luar rumah,” katanya. - Bernama