Desakan jawatan TPM, Kabinet wajar ditangguh

Parlimen Malaysia
Parlimen Malaysia
A
A
A

SHAH ALAM - Meskipun jawatan Timbalan Perdana Menteri tiada dalam Kabinet ketika ini kerana ia tidak dinyatakan dalam Perlembagaan, namun Perdana Menteri berhak menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk melantik sesiapa sahaja bagi memegang jawatan tersebut.

Pakar Undang-undang dan Perlembagaan daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Madya Dr Khairil Azmin Mokhtar berkata, menurut Perlembagaan Persekutuan Perkara 43(2)(b), Perdana Menteri boleh menasihati Seri Paduka Baginda untuk melantik Timbalan Perdana Menteri dan ahli Jemaah Menteri daripada kalangan ahli Dewan Rakyat serta Dewan Negara.

Oleh itu, menurutnya, dari sudut undang-undang, wakil rakyat atau senator daripada mana-mana parti termasuk UMNO yang mempunyai ahli Dewan Rakyat yang teramai dalam Perikatan Nasional (PN), boleh dipilih dan dilantik oleh Perdana Menteri.

“Ini kerana beliau mempunyai prerogatif dalam memilih ahli Jemaah Kabinet termasuklah Timbalan Perdana Menteri.

“Namun begitu dalam keadaan sekarang, selari dengan titah Yang di-Pertuan Agong bahawa perbalahan hendaklah dihentikan, adalah wajar desakan mengenai jawatan dan kedudukan dalam kerajaan, termasuklah jawatan Timbalan Perdana Menteri dan anggota Kabinet, ditangguhkan dan dihentikan dahulu.

“Ini bagi menumpukan perhatian pada masalah kesihatan dan ekonomi yang sedang gawat sekarang,” katanya kepada Sinar Harian di sini semalam.

Khairil Azmin berkata, kenyataan pemimpin daripada gabungan PN termasuk UMNO yang menyokong kerajaan sedia ada dan meminta ahli parti untuk bertenang serta menumpukan kepada usaha menangani wabak Covid-19 adalah wajar.

Menurutnya, pemimpin daripada semua parti termasuklah Perdana Menteri perlu mencari solusi yang berkekalan demi kepentingan dan kesejahteraan rakyat serta negara.

Artikel Berkaitan:

“Pada masa yang sama, usaha ini perlu mendapat kerjasama yang ikhlas dan sokongan padu daripada semua pihak,” jelas beliau.