Jakim kesal tindakan provokatif Charlie Hebdo

Tangkap layar kenyataan media Jakim yang dimuat naik di Facebook hari ini.
Tangkap layar kenyataan media Jakim yang dimuat naik di Facebook hari ini.
A
A
A

SHAH ALAM - Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) kesal dengan tindakan provokatif karikatur Nabi Muhammad SAW yang dicetuskan oleh akhbar mingguan satira Perancis, Charlie Hebdo baru-baru ini.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jakim, Datuk Abdul Aziz Jusoh berkata, isu itu tidak sepatutnya ditimbulkan apatah lagi di saat umat Islam di seluruh dunia kini meraikan bulan Rabiulawal iaitu bulan kelahiran junjungan besar Nabi Muhammad SAW.

Beliau berkata, Jakim menyokong penuh inisiatif Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri yang menulis surat khusus berhubung isu itu kepada Duta Perancis di Malaysia sebagai teguran penuh hikmah terhadap tindakan tidak wajar pihak berkenaan.

ARTIKEL BERKAITAN: Karikatur Nabi Muhammad: Zulkifli hantar surat kepada Duta Perancis

Selain itu katanya, Jakim juga ingin menasihati umat Islam di Malaysia khususnya agar berhati-hati dalam sebarang tindak balas dalam menangani isu tersebut sehingga melakukan sesuatu yang di luar batasan agama dan undang-undang kerana dibimbangi boleh mencetuskan suasana tidak harmoni antara penganut berbilang agama.

"Sempena sambutan Maulidur Rasul SAW 1442H/2020M, kami menyeru seluruh umat Islam khususnya di Malaysia agar sama-sama kita menghayati sirah dan sunnah Rasulullah SAW dengan sebenar-benarnya kerana penghayatan terhadap sirah dan sunnah Rasulullah SAW akan menjadikan kita sebagai umat yang mulia dan dapat dicontohi serta dapat mengelakkan agama Islam difitnah dan dipandang serong oleh pihak-pihak yang memusuhi Islam.

"Sesungguhnya kehadiran Rasulullah SAW di atas muka bumi ini antara lain ialah untuk membawa kedamaian di tengah-tengah masyarakat yang hidup saling menumpahkan darah di antara satu sama lain.

"Islam yang dibawa oleh Rasulullah SAW terbukti membawa kedamaian kerana perintah ALLAH yang banyak di dalam al-Quran menganjurkan kedamaian, larangan menumpahkan darah tanpa hak, tidak memaksa orang bukan Islam memeluk Islam setelah disampaikan mesej Islam kepada mereka," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Artikel Berkaitan:

Abdul Aziz berkata, bahkan Islam mengajar umatnya supaya berhikmah dalam berdakwah dan memelihara kedamaian adalah sebahagian daripada tujuan penciptaan manusia sebagaimana yang diajarkan oleh Rasulullah SAW.

"Jakim menyeru kepada seluruh umat Islam bahkan masyarakat bukan Islam agar terus berpegang teguh dengan lima prinsip Rukun Negara bagi menjamin persefahaman, hormat menghormati dan perpaduan antara kaum dan agama di negara ini sentiasa terpelihara," katanya.

"Semoga sambutan Maulidur Rasul tahun ini membawa lebih kedamaian kepada Malaysia khususnya dan dunia amnya selaras dengan tema Ummah Rabbani Negara Harmoni," katanya.