Covid-19: Kadar kebolehjangkitan di Malaysia kini 1.1

Dr Noor Hisham (kanan) bercakap pada sidang media harian berkaitan jangkitan Covid-19 di Kementerian Kesihatan hari ini. - Foto Bernama
Dr Noor Hisham (kanan) bercakap pada sidang media harian berkaitan jangkitan Covid-19 di Kementerian Kesihatan hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Kadar kebolehjangkitan Covid-19 atau R-naught (RO) bagi Malaysia kini ialah 1.1, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Katanya, RO dapat dikurangkan dari 2.2 ketika bermula gelombang ketiga pada 20 September lepas kepada 1.1 hari ini ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Beliau berkata, jika mengikut unjuran 2.2, kes harian dijangka 4,500 namun PKPB di Lembah Klang dan Sabah berjaya menurunkan RO kepada 1.5.

"Kes pada 24 Oktober adalah 1,228 dan pada 26 Oktober adalah 1,240 kes... melebihi 1.5. Tetapi kalau purata kita lihat sekarang ini kurang 1.5.

"Kita dapati sekarang ini RO telah berkurang kepada 1.1. Ini menunjukkan dalam tempoh dua minggu PKPB dari 14 Oktober sehingga sekarang kita dapat menurunkan RO, bererti kebolehjangkitan semakin berkurangan," katanya di sini hari ini.

Dr Noor Hisham bagaimanapun berkata, RO yang kini pada 1.1 masih tidak mencukupi dan semua pihak perlu mempertingkatkan aktiviti untuk menurunkan kadar kebolehjangkitan virus berbahaya itu kepada kurang daripada satu.

Oleh itu, beliau mengingatkan rakyat agar terus memberi kerjasama dalam memutuskan rantaian penularan Covid-19 dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan duduk di rumah jika tiada urusan penting.

Katanya, RO kurang daripada satu mampu melandaikan lengkuk kes jangkitan.

Artikel Berkaitan:

Mengenai kematian yang berlaku di luar hospital (BID), Dr Noor Hisham berkata, sebanyak 44 kes dilaporkan sehingga semalam dengan sembilan ketika gelombang kedua dan selebihnya semasa gelombang ketiga.

Beliau juga berkata, susulan peningkatan kes di Sabah, kementerian kesihatan telah menghantar pakar forensik ke negeri itu berkaitan pengajaran dan pengendalian BID di lapangan mengikut SOP.

Dr Noor Hisham berkata, BID berlaku susulan kelewatan hadir ke hospital yang berakhir dengan pesakit meninggal dunia di rumah.

"Kesemua ini adalah antara cabaran yang kita hadapi terutama jika pesakit mempunyai komorbiditi (dua atau lebih penyakit yang dihidapi secara serentak) dan merupakan warga emas. Kami dapati kira-kira 80 peratus daripada pesakit kedua-dua kumpulan ini meninggal dunia akibat komplikasi selepas dijangkiti Covid-19," katanya. - Bernama