PM Thailand takkan berundur walau didesak

Prayuth Chan o-cha
Prayuth Chan o-cha
A
A
A

BANGKOK - Perdana Menteri Thailand, Prayuth Chan o-cha semalam berkata, tidak akan berundur meskipun terdapat desakan oleh parti-parti pembangkang pada sesi Parlimen khas.

Sesi itu diadakan bagi membincangkan protes yang sedang berlangsung, menuntut perubahan politik selain mahu Perdana Menteri meletak jawatan.

"Negara sedang berhadapan masalah. Saya tidak akan lari daripada masalah. Saya akan terus bekerja,” katanya pada sidang khas itu yang berakhir 10 malam (waktu tempatan) semalam.

Prayuth meminta sesi Parlimen khas diadakan bagi membincangkan tunjuk perasaan yang sudah berlarutan selama berbulan-bulan.

Sejak pertengahan Julai, penunjuk perasaan antikerajaan berhimpun di Bangkok dan bandar-bandar lain, mengulangi tuntutan mereka untuk perubahan politik termasuk pengunduran Perdana Menteri, pembubaran Parlimen, penggubalan semula perlembagaan dan perubahan monarki.

Sementara itu, Prayuth bersetuju menubuhkan sebuah jawatankuasa dianggotai semua pihak termasuk perwakilan gabungan pemerintah dan kumpulan penunjuk perasaan dalam usaha mengakhiri ketegangan politik yang kian memuncak di negara ini.

Beliau mengingatkan kumpulan penunjuk perasaan antikerajaan supaya tidak mengheret negara lain ke kancah urusan dalaman kerajaan.

"Jangan bawa masuk negara lain. Kita harus mengekalkan kedaulatan negara,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Prayuth juga melahirkan kebimbangan sekiranya pergolakan politik akan mempengaruhi pemulihan ekonomi Thailand daripada pandemik koronavirus (Covid-19).

Sementara itu, dalam ucapan penutupnya, Ketua Whip pembangkang, Sutin Klangsang berkata, parti-parti pembangkang akan meminta Parlimen membahaskannya bulan depan sebelum tunjuk perasaan semakin berleluasa.

"Prayuth mesti letak jawatan. Jika beliau enggan, saya khuatir tunjuk perasaan akan terus memuncak. Oleh itu, saya meminta Perdana Menteri untuk berkorban,” katanya. - Bernama