Majikan wajib iklankan jawatan kosong di MYFutureJobs

M Saravanan
M Saravanan
A
A
A
SHAH ALAM - Kementerian Sumber Manusia mewajibkan majikan untuk mengiklan jawatan kosong di portal pekerjaan nasional, MYFutureJobs bagi pengambilan semula pekerja asing dan pegawai dagang berkuatkuasa 1 November ini.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan berkata, iklan tersebut perlu dibuat tidak kurang daripada 14 hari bagi pekerja asing yang sedia ada dalam negara dan 30 hari untuk pegawai dagang.

Menurutnya, ia akan disusuli dengan sesi menemuduga calon bersama wakil majikan dan agensi Kementerian Sumber Manusia iaitu Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

“Maklumat seperti nama jawatan, gaji yang ditawarkan, kelayakan akademik atau kemahiran dan kompetensi yang diperlukan wajib dipaparkan di MYFutureJobs.

“Pada masa sama, majikan juga dikehendaki mendaftar dan membuat permohonan melalui Sistem Pengurusan Pekerja Asing Bersepadu (ePPAX) sebagai syarat pematuhan kepada undang-undang perburuhan bagi penggajian pekerja bukan warganegara,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Dalam pada itu, Saravanan berkata, mulai tarikh tersebut, mana-mana majikan dan pekerja yang menggunakan JobsMalaysia akan diubah hala ke portal MYFutureJobs.

Katanya, ia bertujuan untuk menjadikan MYFuture Jobs sebagai platform tunggal bagi pihak kementerian memantau padanan pekerjaan yang melibatkan rakyat tempatan.

“Ia juga untuk memastikan peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia diberi keutamaan. Permohonan pekerja asing atau pegawai dagang hanya akan dipertimbangkan sekiranya tiada rakyat Malaysia yang berminat memohon jawatan berkenaan,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau meminta supaya Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) Perkeso membantu pihak majikan mengaturkan sesi temu duga di premis majikan atau mana-mana lokasi.
Artikel Berkaitan:


Menurutnya, Perkeso perlu menghebahkan kekosongan jawatan tersebut terutama bagi kekosongan pegawai dagang kepada semua rakyat Malaysia melalui pelbagai saluran media.

Sebarang pertanyaan berkenaan perkhidmatan pekerjaan dan portal MYFutureJobs boleh hubungi Perkeso di talian 03-8091 5300.