Polis tahan 109 ahli sindiket pinjaman tidak wujud

polis
polis
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seramai 109 ahli sindiket pinjaman wang tidak wujud yang mengakibatkan kerugian kira-kira RM43 juta ditahan sejak awal tahun ini sehingga Ogos lalu menerusi Op Seagul di seluruh negara.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman, Datuk Zainuddin Yaacob berkata, semua suspek ditahan dalam 13 operasi yang dibuat bagi membanteras kegiatan sindiket berkenaan yang dilihat semakin berleluasa semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) susulan penularan wabak koronavirus (Covid-19).

"Seramai 58 ahli sindiket ini telah dituduh di mahkamah melibatkan 28 kes penipuan manakala 51 orang lagi masih dalam siasatan pihak polis,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Zainuddin berkata, mereka yang disiasat berdepan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan sebat serta denda bagi setiap kesalahan yang dilakukan di bawah Seksyen 120B dan Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Beliau berkata, pihaknya masih giat menjalankan risikan dan siasatan bagi meneruskan lagi operasi terhadap sindiket itu.

Zainuddin mendedahkan modus operandi sindiket itu adalah dengan menyamar sebagai ah long dan mengiklankan perkhidmatan mereka di media sosial antaranya Facebook, Twitter, WeChat dan WhatsApp selain Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) untuk memancing mangsa.

"Selain itu, mereka juga menawarkan jumlah faedah (pinjaman) lebih rendah," katanya.

Justeru, katanya, orang ramai dinasihatkan agar tidak terpedaya jika dihubungi sindiket terbabit dan membuat pinjaman hanya daripada institusi kewangan yang sah atau berlesen bagi mengelak menjadi mangsa sindiket sedemikian. - Bernama

Artikel Berkaitan: