X

Kindly register in order to view this article
!

Kapasiti pusat rawatan mencukupi tampung banduan positif Covid-19

Sehingga semalam, kluster Penjara Seberang Perai mencatatkan 198 kes positif termasuk tiga pegawai penjara.
A
A

GEORGETOWN - Kapasiti pusat rawatan koronavirus (Covid-19) berisiko rendah di Penjara Seberang Perai di Jawi, Nibong Tebal mencukupi untuk menampung jumlah banduan yang disahkan positif di penjara itu.

Pengarahnya, Zulkifli Abdul Manah berkata, walaupun kes dilaporkan meningkat dalam tempoh 24 jam lalu, pusat rawatan tersebut masih mampu menampung jumlah banduan yang terlibat.

"Kita menyediakan dua blok di dalam penjara yang dijadikan pusat rawatan Covid-19 berisiko rendah untuk menempatkan banduan yang disahkan positif.

"Buat masa ini, kapasiti pusat rawatan itu mencukupi untuk menampung jumlah banduan (positif). Keadaan di dua blok tersebut terkawal dan semua banduan dilaporkan stabil," katanya ketika dihubungi Sinar Harian tadi.

Semalam, kluster Penjara Seberang Perai mencatatkan 94 kes aktif Covid-19 menjadikan jumlah keseluruhan kes adalah 198.

Mengulas mengenai perkara itu, Zulkifli berkata, kesemua 94 kes itu melibatkan banduan baharu iaitu yang dimasukkan ke penjara kurang dari enam bulan.

"94 kes ini hanya melibatkan banduan, tiada kes melibatkan pegawai penjara. Banduan-banduan ini disahkan positif selepas keputusan ujian saringan kedua diperoleh. Kita sudah memperoleh 90 peratus keputusan ujian saringan kedua, selebihnya masih belum diperoleh.

"Fokus kita sekarang adalah di blok yang menempatkan tahanan yang lebih baru (mereka yang berada di penjara kurang dari enam bulan) kerana di situ kes aktif pertama dilaporkan," katanya.

Zulkifli berkata, pihaknya belum bercadang untuk menjalankan ujian saringan ketiga terhadap semua banduan dan kakitangan penjara.

Untuk rekod, sehingga semalam, 198 kes positif dilaporkan di kluster Penjara Seberang Perai yang mana ia turut melibatkan tiga pegawai penjara itu.

Bagaimanapun, dua daripada pegawai tersebut sudah sembuh dan telah dibenarkan berehat di rumah tiga hari lalu.

Mengulas mengenai seorang pegawai penjara yang masih dirawat, Zulkifli berkata, pegawai tersebut semakin sihat dan stabil.

"Dia sihat dan stabil. Sedang menunggu untuk dibenarkan pulang ke rumah," katanya.

Kawasan Penjara Seberang Perai dan kuarters kakitangan kini memasuki hari kelima diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Mereka yang terjejas adalah 2,110 banduan, 1,129 kakitangan penjara dan anggota keluarga serta 32 kakitangan kerajaan yang lain.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!