Agong buktikan kebijaksanaan, Muhyiddin meniti laluan berliku

No Image Caption
A
A
A

KERAJAAN Perikatan Nasional (PN) pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menerima tamparan hebat semalam apabila buat pertama kali dalam sejarah penubuhan negara, Yang di-Pertuan Agong mengetepikan nasihat Kabinet dalam menentukan pelaksanaan darurat.

Tamparan hebat itu tidak lama selepas Muhyiddin berdepan tekanan daripada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan sebahagian pemimpin UMNO untuk terus mengekalkan hayat pentadbiran kerajaan PN yang baru berusia tujuh bulan itu.

Setelah lebih 60 tahun Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-raja Melayu menuruti nasihat Perdana Menteri dan Jemaah Menteri dalam melaksanakan perkara penting di bawah Perkara 40 Perlembagaan Persekutuan, semalam Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah membuat titah bijaksana bagi mengelakkan institusi diraja terheret dalam kemelut politik.

Dalam satu kenyataan, Istana Negara menegaskan Yang di-Pertuan Agong dan Raja-raja Melayu menolak pengisytiharan darurat kerana tiada keperluan untuk melaksanakannya di negara ini sekarang.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin dalam satu kenyataan berkata, keputusan itu dicapai selepas Yang di-Pertuan Agong memperhalusi permohonan dan berbincang dengan Raja-raja Melayu petang semalam.

Majoriti rakyat Malaysia menyifatkan keputusan itu menyerlahkan kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Negara yang adil dan saksama dalam menyelesaikan krisis negara.

Keputusan Yang di-Pertuan Agong itu turut membawa kepada persoalan lebih besar, apakah yang berlaku seterusnya selepas ini? Adakah Muhyiddin bakal kehilangan sokongan di Parlimen? Atau adakah titah Agong untuk menghentikan politiking dapat mendamaikan ahli-ahli politik yang sedang mencatur kuasa?

Artikel Berkaitan:

 Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa berangkat meninggalkan Istana Negara pada jam 6.05 petang. -Foto Sinar Harian ASRIL ASWANDI SHUKOR
Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa berangkat meninggalkan Istana Negara pada jam 6.05 petang. -Foto Sinar Harian ASRIL ASWANDI SHUKOR

Kuasa Agong

Bagi menjawab persoalan itu, pakar undang-undang, Profesor Datuk Salleh Buang mengajak rakyat untuk kembali menyelami intipati pelaksanaan proklamasi darurat di bawah Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan.

“Perkara 150 (1) menjelaskan sekiranya Agong berpuas hati dengan kewujudan keadaan yang menyebabkan keselamatan, ekonomi dan ketenteraman awam di negara ini terancam, maka Seri Paduka Baginda boleh mengisytiharkan proklamasi darurat.

“Jadi dalam konteks ini, keputusan itu berkemungkinan mengambil kira kebijaksanaan Agong dalam menilai keadaan krisis semasa yang dihadapi negara masih terkawal,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Salleh turut menjawab kekeliruan mengenai kuasa budi bicara Agong dalam melaksanakan proklamasi darurat di bawah Perkara 40 Perlembagaan Persekutuan.

Menurutnya, terdapat perbezaan pendapat dalam kalangan ahli undang-undang berhubung takrifan Perkara 40 Perlembagaan Persekutuan.

“Ada yang mentafsirkan Agong sebenarnya mempunyai kuasa terhad dan diwajibkan bertindak atas nasihat Jemaah Menteri bagi Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan.

“Mengikut Perkara 40(1) dan (1A), Yang di-Pertuan Agong sememangnya perlu mengikut nasihat tetapi Seri Paduka Baginda boleh meminta pengesahan daripada Perdana Menteri sama ada beliau mempunyai majoriti atau tidak.

“Namun, sekiranya Agong tidak yakin kerajaan sedia ada mempunyai sokongan majoriti, Seri Paduka Baginda tidak perlu mengikut nasihat dan boleh bertindak mengikut budi bicara sendiri,” katanya.

Ditanya mengenai implikasi keputusan Yang di-Pertuan Agong terhadap masa hadapan kerajaan PN pimpinan Muhyiddin, Salleh menegaskan, Perdana Menteri dan kerajaan PN sebenarnya sudah boleh menghitung hari-hari terakhir mereka menerajui kerajaan sedia ada.

“Pandangan peribadi saya, sepatutnya Muhyiddin wajar membuat keputusan bijak dengan mengundurkan diri bagi memberi ruang kepada Agong menggunakan kebijaksanaan Seri Paduka Baginda sekali lagi dalam menentukan hala tuju politik negara,” katanya.

Dari sudut pandangan lain, pakar perlembagaan, Profesor Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmod berpandangan keputusan Agong itu bukanlah satu situasi negatif, tetapi sekadar memberi peringatan kepada semua ahli politik.

“Fokusnya supaya ahli politik tidak terlalu berpolitik hingga boleh mendatangkan musibah kepada rakyat dan negara terutama ketika negara sedang berdepan dengan kemelut kesihatan dan ekonomi pada ketika ini,” katanya lagi.

Istimewanya, Nik Ahmad turut bersetuju peristiwa politik semalam merupakan kali pertama seorang Yang di-Pertuan Agong enggan mengikuti nasihat Perdana Menteri berhubung proklamasi darurat.

“Dari perspektif perlembagaan, ia satu perkara baharu dan signifikan dalam tafsiran Perlembagaan secara keseluruhan khususnya berkaitan kuasa-kuasa Yang di-Pertuan Agong,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Nik Ahmad memberitahu, pertikaian berhubung keputusan Yang di-Pertuan Agong khususnya berkaitan pengisytiharan darurat tidak harus timbul kerana Al-Sultan Abdullah telah melaksanakan tanggungjawab di bawah Perlembagaan Persekutuan dan keputusannya perlu dihormati.

Bagi pakar undang-undang, Profesor Madya Dr Khairil Azmin Mokhtar, usaha kerajaan PN untuk mendapatkan pengisytiharan darurat mungkin mempunyai kaitan dengan usul undi tidak percaya di Parlimen sekali gus memungkinkan Belanjawan 2021 tidak diluluskan.

Al-Sultan Abdullah
Al-Sultan Abdullah

Hilang kepercayaan

“Sekiranya darurat diisytiharkan maka dengan menggunakan kuasa darurat, Belanjawan 2021 boleh dimasyhurkan tanpa perlu mendapat kelulusan Parlimen.

“Semasa darurat pula Yang di-Pertuan Agong kebiasaannya menurut nasihat Perdana Menteri atau Jemaah Menteri, undang-undang (Ordinan) juga dapat dibuat dengan menggunakan kuasa darurat,” katanya kepada Sinar Harian.

Tambah beliau, apabila rang undang-undang yang penting seperti Belanjawan tidak diluluskan oleh Dewan Rakyat kerana tidak mendapat sokongan majoriti, maka ia juga boleh menjadi alasan untuk membuat kesimpulan bahawa Perdana Menteri sudah hilang kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat.

Bagaimanapun, sekiranya semua ahli Parlimen menghayati dan menuruti mesej tersirat titah Yang di-Pertuan Agong yang menekankan kepentingan Belanjawan 2021 untuk menangani wabak Covid-19 dan memulihkan ekonomi negara, Muhyiddin dan Menteri Kewangan boleh menarik nafas lega kerana kemungkinan untuk bajet berkenaan diluluskan adalah tinggi.

Dalam pada itu, menyokong keputusan yang dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong, Dekan Fakulti Perniagaan dan Pengurusan, Universiti Sultan Zainal Abidin, Profesor Madya Dr Ahmad Azrin Adnan berkata, dalam situasi semasa yang menyaksikan Malaysia berdepan isu survival kesihatan awam dan survival ekonomi, pengisytiharan darurat bukanlah sesuatu yang patut berlaku.

“Kita tidak boleh mengizinkan negara berada dalam keadaan tidak stabil untuk mengelakkan pelabur-pelabur luar menarik keluar pelaburan mereka di Malaysia sekali gus menggugat ekonomi negara.

“Akibat porak peranda politik, pada Februari lalu umpamanya, telah mencetuskan penjualan panik di Bursa Malaysia dan pada hari berikutnya mengakibatkan modal pasaran sebanyak RM43.4 bilion terhakis daripada Bursa hanya dalam masa satu hari,” katanya.