Rakyat usah panik, bukan darurat keselamatan

Rosol Wahid
Rosol Wahid
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Rakyat perlu bertenang dan tidak melakukan pembelian panik kerana bekalan keperluan asas mencukupi jika negara mengambil keputusan untuk mengumumkan pengisytiharan darurat.

Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid berkata, semua pihak diminta untuk tidak membuat tindakan di luar kawalan kerana ia bukan melibatkan darurat keselamatan.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna berkata, pengguna dan rakyat tidak perlu panik kerana ia bukan melibatkan darurat keselamatan dan tiada sebarang sekatan dilakukan.

"Ia lebih kepada inisiatif untuk memurnikan dan menstabilkan suasana dalam negara bagi membendung peningkatan kes pandemik koronavirus (Covid-19).

"Ia juga bagi membolehkan kerajaan memberi fokus kepada isu menangani Covid-19, tidak lagi melibatkan isu-isu politik," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Dalam pada itu, menurutnya, berdasarkan laporan harian dan tinjauan di lokasi, bekalan keperluan asas di setiap daerah mencukupi sekaligus mampu menampung keperluan di seluruh negara.

Katanya, kerajaan sedang mengkaji kaedah sesuai untuk memanfaatkan pelitup muka terpakai bagi mengelak pencemaran alam sekitar.

"Kita sudah berbincang dengan pengeluar untuk memikirkan cara bagaimana kita boleh manfaatkan semula pelitup muka ini dan dalam bentuk apa ia boleh digunakan.

Artikel Berkaitan:

"Bayangkan kalau dalam sehari sejuta orang pakai, sejuta pelitup muka akan dibuang. Jadi, kita akan ambil pendekatan baharu bagi memanfaatkan ia untuk kegunaan lain supaya tidak berlaku pembaziran dan pencemaran alam sekitar," katanya.