Pengarah syarikat cuba rasuah masuk Malaysia tanpa kuarantin

No Image Caption
A
A
A

JOHOR BAHRU - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor menahan seorang warga Singapura kerana memberi rasuah kepada seorang pegawai penguat kuasa imigresen.

Lelaki berusia 43 tahun yang bertugas sebagai seorang pengarah di sebuah syarikat swasta itu ditahan di Pejabat SPRM Johor di sini jam 3.50 petang tadi bagi membantu siasatan.

Menurut sumber, hasil siasatan yang dijalankan mendapati suspek memberi wang kepada pegawai penguat kuasa imigresen sebanyak RM100.

"Wang itu sebagai balasan untuk membenarkan beliau memasuki semula Malaysia dengan menggunakan Program Laluan Hijau Timbal Balik (RGL) tanpa perlu melalui tempoh kuarantin selama 14 hari di Singapura seperti ditetapkan dalam program RGL.

"Program RGL ialah program yang membolehkan perjalanan rentas sempadan untuk perniagaan penting dan tujuan rasmi bagi kedua-dua negara," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 17(b) Akta SPRM 2009, jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mana yang tinggi dan penjara tidak melebihi 20 tahun.

Sementara itu, Pengarah SPRM Johor, Datuk Azmi Alias ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut.

Artikel Berkaitan: