X

Kindly register in order to view this article
!

Cadang darurat ekonomi, strategi PN kekal berkuasa: Putra

Ibrahim Ali
A
A

SHAH ALAM - Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) mendakwa kerajaan Perikatan Nasional (PN) menggunakan cadangan pengisytiharan darurat tidak penuh sebagai strategi untuk kekal berkuasa.

Presiden Putra, Datuk Dr Ibrahim Ali berkata, wabak koronavirus (Covid-19) dan mengelak pilihan raya umum (PRU) dijadikan alasan bagi tujuan tersebut.

Menurutnya, jika sekadar darurat ekonomi, ia membuktikan tuduhan kerajaan cuba mengelak undi tidak percaya kepada Perdana Menteri dan akan gagal meluluskan Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat adalah benar.

"Kenapa tidak dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk isytiharkan darurat penuh seperti 13 Mei 1969 dan meletakkan negara di bawah Majlis Gerakan Negara (Mageran) selama dua tahun.

"Apabila darurat penuh diisytiharkan maka terserah Yang di-Pertuan Agong melantik siapa yang sesuai menjadi Pengarah Mageran," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut beliau berkata, pilihan terbaik ketika ini adalah mengadakan sidang Dewan Rakyat dengan segera supaya ahli Parlimen dapat menentukan sokongan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menurutnya, jika gagal mendapat sokongan majoriti, Muhyiddin boleh mencadangkan pembubaran Parlimen untuk diperkenan mengikut budi bicara Yang di-Pertuan Agong.

"Seri Paduka Baginda juga boleh memulakan proses segera mencari calon Perdana Menteri baharu.

"Atau menyerah terus kepada Dewan Rakyat untuk tentukan calon yang mendapat sokongan majoriti.

"Berlapang dada lah semua, utamakan kepentingan rakyat dan negara.Prinsip telus dan berintegriti sahaja yang dapat memuaskan hati semua pihak," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!