Ambil alih LLA langkah terbaik

Safariah (kiri), Zaid (tengah) dan Azdril Bahtiar menyokong penuh agar tanah ladang yang dipajak diurus sepenuhnya oleh Felda di Pejabat Felda Wilayah Kuantan pada Khamis lalu.
Safariah (kiri), Zaid (tengah) dan Azdril Bahtiar menyokong penuh agar tanah ladang yang dipajak diurus sepenuhnya oleh Felda di Pejabat Felda Wilayah Kuantan pada Khamis lalu.
A
A
A

KUANTAN - Pengambilan semula tanah ladang seluas 350,000 hektar mengikut Perjanjian Pajakan Tanah (LLA) yang dipajak kepada FGV Holding Bhd (FGV) dilihat mampu memperkukuhkan semula kedudukan kewangan Felda tanpa perlu bergantung sepenuhnya kepada dana daripada kerajaan.

Itu antara pandangan daripada seramai 15,050 peneroka Felda Wilayah Kuantan membabitkan 42 tanah rancangan Felda yang menyokong dan mengharapkan pengambilalihan semula ladang yang dipajak kepada FGV dapat direalisasikan.

Pengerusi Gabungan Gerakan Persatuan Wanita (GPW) Felda Wilayah Kuantan, Datuk Safariah Awang Ngah berkata, sudah tiba masanya Felda ambil alih semula ladang pajakan bagi membolehkan warga peneroka dapat menikmati kembali hak mereka sepenuhnya.

Menurutnya, pengambilalihan semula ladang yang dipajak itu boleh memberi perubahan dan impak yang cukup baik dalam organisasi Felda.

Safariah Awang Ngah
Safariah Awang Ngah

“Dulu Felda berdiri di atas kaki sendiri dengan pendapatan yang tinggi daripada hasil sawit pada ketika itu.

"Kalau kita mendapat balik tanah pajakan itu Felda boleh meraih untung yang banyak dalam keadaan harga sawit yang tinggi sekarang.

“Jadi, Felda perlu ambil alih semula tanah yang dipajak dan kita yakin Felda mampu menguruskan dan akan memperkukuhkan semula kewangan tanpa bergantung sepenuhnya daripada dana kerajaan,” katanya ketika ditemui di Pejabat Felda Wilayah Kuantan pada Khamis lalu.

Artikel Berkaitan:

Baru-baru ini, Pengerusi Felda, Datuk Seri Idris Jusoh mengumumkan Felda mahu mengambil semula 350,000 hektar ladang sawit dipajak kepada FGV sebagai pelan transformasi dalam model perniagaan baharu yang dianggap lebih mampan dan berdaya saing.

Safariah berkata, sejak pengambilalihan tanah ladang oleh FGV, pihak Felda berdepan dengan pelbagai masalah sehingga terpaksa meminta bantuan daripada kerajaan bagi memastikan pengurusan Felda dapat berjalan lancar.

Menurutnya, banyak program dan bantuan tidak lagi dinikmati peneroka dan generasinya seperti tajaan pendidikan, kelas tuisyen, pinjaman pendidikan untuk anak Felda melanjutkan pengajian di dalam dan luar negara serta pembangunan usahawan dan komuniti di tanah rancangan.

“Sebelum ini, setiap tahun, Felda mampu membiayai anak-anak peneroka yang berjaya dalam bidang pendidikan, mendapat kelas tuisyen percuma. Namun kini, keistimewaan itu sudah tidak disediakan untuk generasi pelapis yang kini sudah pun sampai generasi kelima.

“Program untuk belia Felda tak dapat dianjur dalam skala besar susulan kekurangan dana, malah dana yang disalurkan tidak mencukupi untuk membantu warga peneroka.

“Kita bukan tidak mahu membantu peneroka, tetapi bila sumber kewangan yang terhad menyebabkan banyak perkara tidak dapat dilaksanakannya,” katanya.

Beliau yakin Felda mampu menguruskan tanah ladang yang dipajak kerana agensi itu mempunyai pengalaman dan kepakaran dalam mengendalikan tanah rancangan itu dengan sebaiknya.

Justeru, hasrat Felda untuk menguruskan semula semua tanah ladang perlu diteruskan demi menjamin kehidupan peneroka dengan lebih baik.

Kelestarian Felda

Ketua Peneroka Felda Wilayah Kuantan, Zaid Sidek berkata, pengambilalihan semula tanah pajakan FGV adalah satu langkah tepat untuk kelangsungan dan kelestarian Felda.

Menurutnya, hasrat itu juga dilihat mampu mengembalikan kegemilangan agensi pembangunan rancangan tanah berkenaan tanpa perlu lagi bergantung sepenuhnya kepada kerajaan.

Zaid Sidek
Zaid Sidek

“Kita menyokong saranan ini demi kepentingan dan imej Felda itu sendiri, selain meningkatkan sosio ekonomi peneroka sebab tanah-tanah pajakan itu merupakan satu aset yang besar kepada Felda.

“Sebab sebelum ini tanah-tanah ladang ini diurus dengan baik oleh Felda dan keuntungannya banyak menyumbang kepada peneroka dan Felda,” katanya.

Beliau yakin Felda mempunyai pengalaman dalam mengurus tadbir tanah-tanah ladang itu dengan sebaiknya berdasarkan formula dan kepakaran mereka.

Malah katanya, setiap pulangan yang diperolehi Felda akan diagihkan kepada pengurusan Felda dan pembangunan peneroka itu sendiri.

“Kita yakin Felda akan kembali gah sebagai agensi perladangan yang paling berjaya serta mampu menjaga kebajikan peneroka dengan lebih baik,” katanya.

Berdaya saing

Sementara itu, Exco Pembangunan Usahawan Majlis Belia Felda Kuantan, Azdril Bahtiar Abdul Aziz berkata, Felda adalah sebuah organisasi yang mampu berdaya asing dan boleh menguruskan ladang dengan lebih baik.

Menurutnya, Felda pernah diiktiraf sebagai salah satu organisasi yang boleh berdiri sendiri tanpa bantuan sepenuhnya daripada kerajaan sebelum ini.

Azdril Bahtiar Abdul Aziz
Azdril Bahtiar Abdul Aziz

“Apabila ada saranan dan cadangan untuk ambil alih ladang pajakan, kita sebagai generasi kedua Felda menyokong sepenuhnya usaha ini kerana kita sudah melihat kejayaan pembangunan infrastruktur dan program-program Felda yang pernah dilaksanakan sebelum ini.

“Kalau dulu, kita tiada masalah untuk memberi bantuan kepada peneroka, tetapi sekarang ini, kita sukar untuk dapat bantuan. Mohon untuk bajet (peruntukan) program pun susah. Semua ini terjadi bila ladang dipajak oleh FGV dan ia memberi kesan pada warga Felda,” katanya.

Beliau berkata, situasi itu berlaku kerana Felda tidak lagi memperoleh keuntungan hasil ladang yang telah dipajak kepada FGV.

“Dahulu Felda memperoleh keuntungan 100 peratus daripada hasil sawit dan Felda akan mengagihkan keuntungan itu untuk menjalankan aktiviti komuniti Felda.

“Tapi apabila pajakan, Felda hanya menerima satu jumlah tetap serta perkongsian keuntungan untuk tempoh satu tahun dengan jumlah pulangan yang tidak mencukupi untuk menampung pebelanjaan Felda,” katanya.

Azdril Bahtiar berkata, apabila kekurangan dana ia akan memberi pelbagai kekangan kepada Felda untuk memberi peruntukan bagi pembangunan dalam warnanya.

Justeru katanya, untuk memperkukuhkan kembali sumber kewangan, Felda perlu ambil alih semula ladang pajakan.