Isu tanah Pulau Pinang dipajak perlu diperjelas berlandas fakta - Sultan Kedah

Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah.
Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah.
A
A
A

ALOR SETAR - Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah bertitah hakikat bahawa tanah Pulau Pinang hanyalah dipajak perlu diperjelaskan secara terang berlandaskan fakta dan tanpa prejudis.

Sultan Sallehuddin bertitah, bagaimanapun, perbincangan mengenai perkara ini haruslah disulami dengan fakta yang berasas dan tepat.

Baginda berpandangan, adalah lebih baik sekiranya fakta-fakta ini dikaji secara ilmiah dan lebih tersusun agar dapat dijadikan rujukan serta membawa kebaikan kepada generasi akan datang.

"Hal ini adalah kerana sejarah adalah sumber kebijaksanaan terpenting dalam mengajar kita seni bernegara.

"Memetik nasihat bekas Perdana Menteri Britain, Sir Winston Churchill 'Study History. In history lies all the secrets of statecraft'. Sir Winston Churchill juga berucap dalam House of Common, United Kingdom pada 1948, iaitu 'Those who fail to learn from history are condemned to repeat it'," titah baginda.

Sultan Sallehuddin bertitah sedemikian sempena Hari Keputeraan Baginda yang ke-81 di Istana Anak Bukit,di sini pada Ahad.

Baginda bertitah, peristiwa lampau yang meletakkan negeri dalam keadaan sukar dan terpaksa bersetuju dengan perjanjian-perjanjian berat sebelah harus dijadikan pedoman serta peringatan agar lebih berhati-hati dalam bertindak dan berurusan.

Baginda menasihatkan, perjuangan menjaga hak dan kedaulatan negeri kini bukan lagi di medan perang sebagaimana dilakukan pahlawan negeri terdahulu, sebaliknya medan perjuangan kini adalah di meja rundingan dan melalui tinta tulisan.

"Namun, keberanian ditunjukkan pahlawan terdahulu sepertimana telah terpahat dalam lipatan sejarah Perang Musuh Bisik pada kurun ke-19 harus dicontohi dan dihayati generasi masa kini," titah baginda.

Sultan Sallehuddin turut bertitah, sejarah tidak dapat dipisahkan daripada peradaban sesebuah bangsa.

Titah baginda lagi, Kedah mempunyai sejarah amat panjang sejak berkurun lamanya.

"Dalam tempoh melayari peradaban dari satu zaman ke satu zaman, kita telah menyaksikan Kedah melalui pelbagai peristiwa peperangan, persahabatan, rundingan dan perjanjian dimeterai.

"Rentetan sejarah itu dan hasil persetujuan negeri-negeri maka tertubuhlah Persekutuan Tanah Melayu yang kini dikenali sebagai Malaysia,"titah baginda.

Baginda menjelaskan, sebuah kerajaan di peringkat pusat iaitu Kerajaan Persekutuan telah ditubuhkan bagi mentadbir Malaysia dengan kerajaan-kerajaan sedia ada di peringkat negeri dikekalkan.

"Kuasa dinikmati Kerajaan Persekutuan hari ini adalah hasil daripada pemberian diberikan negeri-negeri melalui Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu dimeterai pada tanggal 5 Ogos 1957.

"Amatlah tidak wajar sekiranya suara rakyat di negeri ini cuba didiamkan khususnya berhubung sejarah dan kedaulatan Kedah. Dengan terbentuknya Malaysia, tidaklah menjadi titik membenarkan sejarah negeri telah wujud sejak sekian lama dipadam," titah baginda.

Sultan Sallehuddin bertitah, baginda turut mendapati perbincangan mengenai sejarah Kedah mulai subur di pelbagai platform sejak akhir-akhir ini.

Baginda bertitah, rakyat dari segenap lapisan masyarakat mengambil bahagian dalam perbincangan mengenai sejarah Kedah khususnya berhubung kedudukan Kedah dan Pulau Pinang.

"Pada hemat Beta, perkembangan ini adalah satu perkembangan yang baik. Beta berharap agar minat rakyat untuk mendalami sejarah sebenar Kedah dan Pulau Pinang tidak dinoktahkan secara melulu," titah baginda.

Baginda turut berharap sejarah negeri akan terus dihayati oleh semua pihak kerana ia cukup bernilai tinggi.

Sultan Sallehuddin berpesan sejarah tidak boleh dibeli melainkan ditempa dengan darah dan air mata.