Padah hentak kepala rakan dengan topi keledar

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang gelandangan dijatuhi hukuman penjara 42 bulan oleh Mahkamah Sesyen di sini, akibat menghentak kepala rakannya dengan topi keledar sehingga mangsa koma, hanya kerana berang melihat mangsa berkelakuan biadab dengan ibunya sendiri.

Hakim Emelia Kaswati Mohamad Khalid menjatuhi hukuman itu ke atas Muhd Rafiq Dinie Amru El Hafize, 25, bekas banduan yang baru dibebaskan dari penjara atas kesalahan dadah, selepas dia menukar pengakuan kepada bersalah pada prosiding sebutan semula kesnya, hari ini.

Sebelum menjatuhkan hukuman, Emelia Kaswati menasihati tertuduh supaya tidak mengulangi kesalahan yang dilakukan dan berharap hukuman pemenjaraan yang panjang mampu memberi pengajaran kepada tertuduh.

“Apapun keputusan yang saya beri, hukuman yang saya tetapkan, sebab saya nak kamu jadi manusia yang berguna. Walaupun lama (hukuman penjara), saya nak kamu belajar sesuatu dan bila keluar penjara kamu tidak lagi ulangi kesalahan kamu, terutama dadah sebab dadah adalah punca kepada masalah lain,” katanya yang memerintahkan hukuman penjara itu bermula dari tarikh tertuduh ditangkap pada 6 Januari lepas.

Muhd Rafiq Dinie yang kelihatan tenang di kandang tertuduh kemudian menjawab: “Faham...” sambil mengangguk-anggukkan kepalanya.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa dengan sengaja telah menyebabkan cedera parah ke atas mangsa berusia 17 tahun, pada bahagian otak sebelah kanan dengan menggunakan topi keledar iaitu sebagai satu senjata yang boleh menyebabkan kematian.

Dia melakukan perbuatan itu di sebuah rumah di Persiaran Lemak, Taman Segar, Cheras, di sini antara 3 dan 6 pagi, 5 Januari lepas mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh juga dikenakan denda atau sebat.

Terdahulu, semasa rayuan, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hanya dikenakan hukuman ringan dan memberitahu dia tidak berpuas hati apabila melihat rakannya bersikap ‘kurang ajar’ dengan ibu.

Artikel Berkaitan:

Tertuduh berkata, dia tidak dapat menahan emosi kerana dia telah kematian ibu akibat barah payudara.

Timbalan Pendakwa Raya, Siti Aisyah Ahmad memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal mengambil kira kesalahan yang dilakukan tertuduh adalah serius selain kecederaan parah yang dialami mangsa. - Bernama