X

Kindly register in order to view this article
!

Spekulasi darurat selamatkan Muhyiddin atau negara?

Yang di-Pertuan Agong pada ketika ini memainkan peranan yang penting ketika berlakunya kemelut politik negara.
A
A

SEJAK kelmarin, desas-desus tersebar luas mengatakan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bakal membuat satu keputusan besar dan mengejutkan lebih 31 juta rakyat Malaysia.

Tanda-tanya langkah terkini Muhyiddin dan kerajaan Perikatan Nasional (PN) semakin diperkuatkan dengan pengesahan satu mesyuarat Kabinet diadakan pagi semalam, hanya dua hari selepas mesyuarat Kabinet mingguan diadakan pada Rabu lalu.

Mesyuarat Kabinet terkini itu dianggap ‘luar biasa’, sekali gus membawa spekulasi awal kemungkinan berlakunya rombakan Kabinet atau pembubaran Parlimen.

Bermula 13 Oktober lalu, rakyat negara ini sudah berdepan dengan polemik percaturan politik yang merimaskan membabitkan watak Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibahim; Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak; Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah dan Muhyiddin sendiri.

Bagaimanapun, pagi semalam, Sinar Harian menerima berita mengejutkan apabila Jemaah Kabinet didakwa telah bersetuju membuat keputusan untuk mengisytiharkan darurat dengan Muhyiddin sendiri dikatakan akan menghadap Yang di-Pertuan Agong atas tujuan itu.

Kali terakhir negara mengisytiharkan darurat seluruh negara adalah selama dua tahun selepas peristiwa 13 Mei 1969 sehingga 1971, dan sebelum itu selama 12 tahun pada tahun 1948 sehingga 1960 kerana ancaman pengganas komunis.

Hayat politik

Ancaman gelombang ketiga pandemik Covid-19 diakui amat membimbangkan pada ketika ini dengan Kementerian Kesihatan (KKM) menjangkakan kes jangkitan bakal menjangkau 1,200 kes sehari dalam tempoh masa terdekat.

Namun dengan kerajaan masih belum melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), adakah pelaksanaan darurat benar-benar bertujuan menyelamatkan Malaysia atau sekadar menyambung hayat politik Muhyiddin?

Pakar perlembagaan daripada Universiti Teknologi Malaysia, Dr Muhammad Fathi Yusof berpandangan pelaksanaan darurat di bawah Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan pada saat penularan pandemik Covid-19 semakin kritikal adalah keputusan tepat.

Muhyiddin Yassin - Foto Bernama
Muhyiddin Yassin - Foto Bernama

Beliau turut menjelaskan pelaksanaan darurat itu juga bukan perkara luar biasa, mengambil kira sejumlah 79 buah negara termasuk Amerika Syarikat, Thailand, Australia dan Filipina sudah melaksanakan inisiatif sama sebelum ini.

“Pelaksanaan darurat merupakan satu ruang yang disediakan Perlembagaan Persekutuan bagi memberi peluang kepada kerajaan sedia ada menyelesaikan masalah negara yang tidak boleh diselesaikan menerusi kaedah pentadbiran biasa.

“Darurat juga tidak perlu dianggap sesuatu perintah bersifat pemerintahan diktator atau ketenteraan.

“Ini berdasarkan pengalaman negara mengharungi beberapa pelaksanaan darurat sebelum ini, ia masih dijalankan berlandaskan pentadbiran awam. Tambahan pula, apabila darurat diisytiharkan berkaitan isu kesihatan seperti Covid-19, saya menjangkakan tiada implikasi besar terhadap ruang kebebasan rakyat akan berlaku,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Ditanya mengenai bentuk kerajaan yang akan ditubuhkan selepas darurat dilaksanakan, Muhammad Fathi menjelaskan segalanya terpulang kepada kebijaksanaan Seri Paduka Baginda dalam meneliti langkah itu kerana ia tidak semestinya menyebabkan Parlimen terbubar.

Selamatkan kerajaan

Mengenai aspek pergerakan rakyat sekiranya darurat dilaksanakan, pakar undang-undang daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Madya Dr Khairil Azmin Mokhtar pula berpandangan rakyat tidak perlu bimbang kerana peraturan pergerakan mereka masih terpakai mengikut kaedah pentadbiran awam seperti biasa.

“Sekiranya berlaku darurat, sebarang keputusan pelaksanaan PKP atau Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) masih lagi terpakai sebagaimana berkuat kuasa ketika ini tanpa perlu pelaksanaan ‘perintah berkurung’.

“Selain itu, tiada jangka masa tertentu yang ditetapkan untuk proklamasi darurat. Oleh itu selagi mana proklamasi tersebut tidak dibatalkan Yang di-Pertuan Agong atau dirungkaikan oleh Parlimen, maka proklamasi tersebut tetap berjalan dan kuasa darurat bawah proklamasi tersebut boleh digunakan,” katanya.

Dari sudut pandang politik, pelaksanaan darurat seolah-olah dilihat hendak menyelamatkan kerajaan Muhyiddin yang dipercayai sudah hilang majoriti sokongan ahli Parlimen.

Ada baik, ada buruknya

Penganalisis politik veteran, Profesor Dr Ahmad Atory Hussain menyifatkan pelaksanaan darurat belum perlu diisytiharkan lagi, memandangkan kerajaan masih boleh melaksanakan semula PKP sebagaimana diimplementasi pada bulan Mac lalu.

“Saya melihat tujuan darurat dilaksanakan, sekiranya berlaku, tidak lebih sekadar memastikan kerajaan PN dapat mengelakkan dua persidangan penting Dewan Rakyat pada 2 November dan 6 November ini.

“Dengan usul undi tidak percaya terhadap kepimpinan Muhyiddin yang dikemukakan lebih 20 ahli Parlimen dan kebimbangan usul Belanjawan 2021 tidak diluluskan susulan blok kerajaan kalah undi, langkah darurat yang secara automatik mengakibatkan Parlimen tergantung sekurang-kurangnya dapat ‘menyelamatkan’ hayat kerajaan buat masa sementara waktu,” katanya.

Pelaksanaan darurat sekiranya diputuskan Seri Paduka Baginda kelak adalah sah dari segi undang-undang dan tidak boleh dicabar mana-mana mahkamah.

Majlis Gerakan Negara (Mageran) yang dipengerusi Tun Abdul Razak ditubuhkan pada darurat tahun 1969.
Majlis Gerakan Negara (Mageran) yang dipengerusi Tun Abdul Razak ditubuhkan pada darurat tahun 1969.

Namun begitu, dari aspek moral politik, pelaksanaan darurat tidak sewajarnya berlaku kerana rakyat melihat langkah itu sekadar bermotifkan politik semata-mata.

“Oleh kerana rakyat memahami kerajaan PN kini ‘goyang’, saya bimbang rakyat akan melakukan penolakan terhadap kerajaan sedia ada sekiranya darurat menjadi kenyataan.

“Imej Muhyiddin dan kerajaan berkemungkinan akan bertambah buruk dengan defisit kepercayaan rakyat terhadap kerajaan semakin terjejas,” katanya.

Dari sudut pandang ekonomi pula, penganalisis ekonomi, Profesor Datuk Dr Shazali Abu Mansor berpendapat proklamasi darurat ada baik dan buruknya.

“Dari sudut kebaikan, politik negara akan menjadi lebih stabil, kerajaan akan lebih fokus menangani isu kesihatan serta ekonomi dan perkara itu secara tidak langsung menyumbang pemulihan ekonomi domestik.

“Namun, dari segi pandangan pelabur asing, proklamasi darurat tidak disukai mereka dan menjejaskan minat untuk terus melabur di negara ini. Ada kemungkinan aliran keluar pelaburan terutama membabitkan bursa saham secara besar-besaran akan berlaku,” katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!