Kes rasuah Najib: 421 dokumen diserah kepada peguam

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi, di sini, hari ini diberitahu 421 dokumen berkaitan kes bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang didakwa atas empat pertuduhan rasuah membabitkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berjumlah RM2.28 bilion, diserahkan kepada pihak pembelaan untuk digunakan bagi tujuan perbicaraan.

Perkara itu dimaklumkan Timbalan Pendakwa Raya Kanan, Datuk Seri Gopal Sri Ram yang mengetuai pasukan pendakwaan ketika pengurusan kes berkenaan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah.

Bagaimanapun Sri Ram, yang juga bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, berkata pihaknya sedang berusaha mendapatkan beberapa dokumen perbankan membabitkan 21 kes pengubahan wang haram berhubung dana 1MDB yang dihadapi Najib.

"Kami memerlukan masa dan akan cuba sedaya upaya untuk mendapatkan kesemua dokumen perbankan berkenaan yang masih belum diperoleh daripada pihak bank," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: 1MDB: DAP dakwa Ramli tak buat apa-apa

Mahkamah kemudiannya menetapkan 26 Februari untuk pengurusan kes selanjutnya.

Ketika ditemui pemberita selepas selesai prosiding, seorang lagi Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib yang turut hadir dalam prosiding kes itu berkata pihak pendakwaan sebelum ini menyerahkan 367 dokumen berkaitan kes rasuah dan 23 dokumen membabitkan kes pengubahan wang haram kepada pihak pembelaan.

"Hari ini, pihak kami menyerahkan 54 dokumen lagi membabitkan kes itu (rasuah) dan dokumen yang diserahkan itu sebahagian besar membabitkan minit mesyuarat jemaah menteri," kata Ahmad Akram.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Hakim Collin menetapkan 15 Februari untuk mendengar permohonan Najib bagi menggugurkan Sri Ram daripada mengetuai pasukan pendakwaan dalam kes berkenaan.

Hakim itu juga menetapkan 13 Februari untuk pihak-pihak terlibat memfailkan hujahan bertulis masing-masing.

Najib, 66, yang hadir dalam prosiding itu diwakili peguam Harvinderjit Singh.

Najib menghadapi empat pertuduhan di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001, melibatkan dana 1MDB berjumlah RM2.28 bilion.

Ahli Parlimen Pekan, Pahang itu didakwa melakukan kesemua kesalahan di AmIslamic Bank Berhad, No. 55, Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon antara 2011 dan 2014.

Perbicaraan kes ditetapkan sebelum ini pada 15 April hingga 3 Mei nanti. - Bernama