Kembalikan dana pembinaan taska

Hannah Yeoh
Hannah Yeoh
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan didesak memperuntukkan dana RM30 juta untuk penyediaan taman asuhan kanak-kanak (taska) di tempat kerja agensi kerajaan sebelum ini kepada tujuan asal.

Bekas Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh mendakwa, ini kerana daripada jumlah tersebut, hanya RM5.5 juta digunakan untuk penubuhan 34 taska, sementara RM24.5 juta tersebut telah disalurkan untuk tujuan lain iaitu Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana), termasuk bantuan khas taska swasta.

Menurutnya, desakan itu juga bertujuan menjaga kebajikan kakitangan kerajaan khususnya barisan hadapan yang sedang berdepan koronavirus (Covid-19) apabila mendakwa masih ramai golongan tersebut tidak mempunyai sokongan bagi penjagaan anak.

"Ada yang terpaksa mengambil cuti atau menghantar anak ke rumah pengasuh atau taska swasta.

"Ini melibatkan kos yang lebih tinggi kerana kerja syif yang tidak menentu," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Segambut berkata, peruntukan RM30 juta itu sepatutnya dapat menyediakan sekurang-kurangnya 200 taska di agensi kerajaan.

“Isu penyediaan taska di tempat kerja untuk frontliner ini sangat kritikal bagi memastikan Malaysia dapat melawan Covid-19 dengan berkesan.

"Jika kebajikan keluarga frontliner tidak dijaga, nescaya prestasi kerja mereka di lapangan akan terjejas," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menerusi audit yang dilakukan pada Julai 2018, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM)mendapati 541 agensi kerajaan termasuk agensi kerajaan negeri tidak mempunyai taska di tempat kerja.

Justeru, menerusi Belanjawan 2019, kerajaan di bawah Pakatan Harapan memperuntukkan RM10 juta bagi menubuhkan 50 buah taska baharu.

Dalam Belanjawan 2020, Kementerian Kewangan pada masa itu memperuntukkan sebanyak RM30 juta, iaitu peningkatan sebanyak tiga kali ganda berbanding 2019.