X

Kindly register in order to view this article
!

Ahli-ahli Parlimen Sabah bakal jadi 'tahanan'

Tangkap layar kenyataan Kit Siang di blog dan laman Facebooknya hari ini.
A
A

SHAH ALAM - Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang mempersoalkan mengapa pihak pengurusan Parlimen tidak membuat sebarang persediaan untuk persidangan Parlimen secara maya ketika gelombang ketiga wabak koronavirus (Covid-19) melanda negara.

Soal Kit Siang, apakah kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak memberikan kebenaran kepada pihak Parlimen untuk mengadakan persidangan secara maya memandangkan tumpuan utama mereka adalah bagaimana untuk menggantung persidangan Parlimen.

Veteran DAP itu berkata, jika persidangan secara maya diadakan ahli-ahli Parlimen daripada Sabah tidak perlu dikuarantin di bilik hotel selama 14 hari di Kuala Lumpur sebelum menjalani ujian saringan Covid-19 untuk menghadiri persidangan Belanjawan pada 2 November ini.

Menurutnya, ahli-ahli Parlimen Sabah itu seakan-akan menjalani tahanan perseorangan selama 14 hari di bilik hotel mereka di Kuala Lumpur.

“Pengalaman ahli-ahli Parlimen Sabah yang perlu menjalankan kuarantin berasingan di bilik hotel ini seakan-akan serupa dengan penahanan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang ditahan secara bersendirian selama 60 hari pertama mereka sebelum akta ini dimansuhkan,” katanya dalam satu kenyataan diblog dan laman Facebooknya hari ini.

Sehubungan itu, beliau menyeru Mesyuarat Khas Kabinet memaklumkan kepada Parlimen yang mereka tidak mempunyai sebarang bantahan untuk mengadakan sesi sidang Dewan Rakyat secara dalam talian.

"Saya menyeru kepada mesyuarat khas Kabinet pagi ini untuk memaklumkan kepada Parlimen yang mereka tidak mempunyai sebarang bantahan terhadap Parlimen untuk mengadakan persidangan secara maya dan untuk membenarkan pihak Parlimen untuk mengambil apa-apa persediaan diperlukan untuk mengadakan persidangan secara maya ini," katanya.

Katanya, Parlimen patut diberikan jaminan yang Kabinet akan meluluskan cadangan belanjawan untuk mengadakan persidangan secara maya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!