X

Kindly register in order to view this article
!

Kemahuan politik

A
A

KERAP kedengaran kata-kata ‘kemahuan politik’ (political will). Apakah maksudnya dan apakah implikasinya serta bagaimana mengukur keberkesanannya, sangat penting agar ia tidak menjadi retorik kosong.Kemahuan politik sangat asasi kepada proses membuat keputusan dalam sesebuah negara.

Dalam isu membela pelanggaran hak manusia dan menuntut keadilan dan akauntabiliti, kemahuan politik menjadi sangat kritikal. Keazaman sehingga tertegak kebenaran dan keadilan untuk merubah sesebuah sistem atau dasar akan menjadi petanda kepada kesungguhan kemahuan politik yang bermakna.

Ia juga kritikal bila ada kelompok masyarakat yang menghadapi sistem yang tidak adil.Untuk mengukur kemahuan politik yang bersungguh bergantung kepada sejauh mana inisiatif, penilaian, mobilisasi, peruntukan dan penguatkuasaan diambil oleh aktor politik. Kesemua komponen ini akan menunjukkan komitmen berterusan sebagai isyarat kemahuan politik yang serius.

Maksudnya kemahuan politik adalah sebuah keazaman yang menggunakan posisi seorang ahli politik untuk menentukan tertegaknya polisi yang akan memberi impak kepada rakyat, terutama rakyat tertindas.

Kemahuan politik sering dikaitkan dengan keupayaan atau ketidakupayaan untuk menetap dan melancarkan sebuah dasar pembangunan. Keupayaan mengerakkan perubahan politik di tengah sebuah sistem yang pincang, adalah kemahuan yang perlu dizahirkan dengan jelas.

Kemahuan politik selalunya diungkap secara umum dan merangkumi hampir semua aspek. Akan tetapi sangat kabur sehingga kadang kala tidak dapat pencerahan yang jelas terhadap proses politik itu sendiri.

Untuk itu sebuah takrif yang khusus terhadap kemahuan politik perlu diungkapkan. Jika ia bermaksud suatu keazaman oleh seorang aktor politik untuk bertindak atau menyatakan sesuatu demi menegakkan keadilan dan kebenaran, maka ia ada implikasi yang akan hadapi.

Kuat atau lemah seorang aktor politik akan memberi kesan kepada keputusan yang akan diambil. Dalam erti kata lain jika keazaman seorang ahli politik cukup kuat maka ia perlu bersedia dan sanggup menghadapi risiko politik yang bakal dihadapi. Risiko hilang jawatan dan populariti mungkin pertimbangan yang sering difikirkan oleh ahli politik yang menentang arus.

Seorang pemimpin yang memiliki kemahuan politik yang cekal perlu ada visi dan kapasiti bahawa ia yakin dan boleh membawa perubahan. Visi harus jelas. Keupayaan merealisasi perubahan juga perlu mantap.

Utamakan populariti

Dalam senario politik negara mutakhir ini nampaknya jelas kemahuan aktor politik terkait dengan soal populariti. Populariti menjadi pertimbangan utama. Risiko akan ditolak oleh pengundi atau rakyat mahupun rakan parti politik sendiri sering menyebabkan aktor politik keberatan mengambil risiko menzahirkan kemahuan politik.

Apa yang sedang berlaku sekarang sarat dengan percaturan politik yang bukan berasaskan kemahuan politik murni. Tekad politik kini dipenuhi dengan helah dan dalil politik yang menggunakan kaedah ‘matlamat menghalalkan cara’.

Dalam keadaan sekarang, rakyat memerlukan kepimpinan politik yang kukuh dan diyakini. Pertimbangan setiap aktor politik sepatutnya menampilkan kemahuan politik untuk mengutamakan kesejahteraan rakyat, menangani kegawatan ekonomi dan mengangkat semula negara ke mercu kegemilangan.

Kemahuan politik adalah ciri yang diperlukan dalam kalangan pimpinan politik dengan syarat ia adalah murni. Agenda memacu semula ekonomi negara dalam keadaan pandemik Covid-19 memerlukan kekuatan sebuah kerajaan yang dipimpin oleh seorang Perdana Menteri yang berwibawa dan memiliki kemahuan politik yang tinggi.Kini kemahuan politik hanya retorik kebanyakan para aktor politik yang berfikiran sempit dan dangkal. Kemahuan politik menjadi lontaran kata-kata popular. Namun ia tidak membawa apa-apa kesan.

Mandat rakyat diberi dalam pilihan raya. Akan tetapi ketika bertembung antara kepentingan rakyat dan kepentingan parti dan kesetiaan kepada pembiaya politik, kemahuan politik dikesampingkan.

* Mohd Azmi Abd Hamid ialah Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia dan Presiden Teras Pengupayaan Melayu


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!