X

Kindly register in order to view this article
!

Covid-19: UMNO tangguh mesyuarat perwakilan bahagian, PAU

Ahmad Maslan
A
A

SHAH ALAM - Mesyuarat perwakilan bahagian dan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) tahun ini terpaksa ditangguhkan disebabkan kebimbangan penularan wabak Covid-19.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, Majlis Tertinggi UMNO bersetuju menerusi resolusi secara edaran.

"Adalah dimaklumkan bahawa mesyuarat perwakilan UMNO bahagian dan Perhimpunan Agung UMNO ditangguhkan kerana wabak Covid-19," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, fasal 8.2 Perlembagaan UMNO menetapkan syarat PAU mesti diadakan sekali dalam setahun pada bila-bila masa yang ditetapkan Majlis Tertinggi dengan syarat tidak lewat daripada 18 bulan daripada tarikh PAU lalu.

“Fasal 8.2 Perlembagaan ini dibaca bersama Perkara 5.4 Peraturan Persidangan yang berbunyi 'Tarikh Perhimpunan Agung, tarikh Mesyuarat Perwakilan Bahagian dan tempoh Persidangan Cawangan adalah ditentukan oleh Majlis Tertinggi'.

"Tarikh Perhimpunan Agung UMNO 2019 ialah pada 6 dan 7 Disember 2019. Maka 18 bulan selepas itu ialah selewat-lewatnya pada 5 Jun 2021. Tarikh mesyuarat perwakilan bahagian ialah pada Mac atau April 2021 dan Perhimpunan Agung UMNO 2020 pada Mei atau awal Jun 2021 dengan tarikh tepatnya akan dimaklum kemudian," katanya.

Katanya, penangguhan itu membabitkan 764 persidangan iaitu empat mesyuarat perwakilan untuk setiap 191 UMNO Bahagian di seluruh negara.

“Oleh kerana begitu banyak perhimpunan membabitkan puluhan ribu orang, ia kemungkinan berupaya untuk merebakkan wabak Covid-19.

"AJK UMNO bahagian, wanita, pemuda dan puteri di 191 bahagian disaran mengadakan pelbagai aktiviti kebajikan prihatin rakyat dan ziarah kasih kepada yang memerlukan bantuan dalam kawasan masing-masing. Segala aktiviti mesti mematuhi SOP yang ditetapkan kerajaan," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!