X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 28 Jun 2022

Covid-19: Lagi sekolah ditutup di Negeri Sembilan

Pengawal keselamatan menutup pintu pagar Sekolah Menengah Kebangsaan Dato Undang Haji Adnan yang diarahkan ditutup mulai esok hingga 29 Oktober ini berikutan seorang pelajarnya disahkan positif Covid-19 hari ini.
A
A

REMBAU – Sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Undang Haji Adnan (SMK DUHA) ditutup mulai esok hingga 29 Oktober ini berikutan salah seorang daripada pelajarnya disahkan positif koronavirus (Covid-19) hari ini.

Menurut sumber, semua pelajar asrama diminta pulang ke rumah masing-masing kecuali mereka yang berada di zon merah atau perlu rentas negeri.

Difahamkan menerusi makluman yang diberitahu kepada ibu bapa, mereka diarahkan menjemput anak-anak di asrama sebelum jam 6 petang ini.

"Semua guru dan kakitangan sekolah kecuali pekerja pembersihan dan keselamatan diminta berada di rumah masing-masing dan menjalani kuarantin kendiri sehingga tarikh tersebut.

"Manakala pelajar yang dikenal pasti sebagai kontak rapat akan menjalani ujian swab oleh Kementerian Kesihatan (KKM) petang ini," katanya.

Sementara itu, Sekolah Agama Rakyat (SAR) An-Nur Springhill di Port Dickson turut diarahkan tutup setelah menerima pengesahan kes jangkitan Covid-19.

Arahan itu dikeluarkan menerusi satu surat rasmi Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS), Mohd Zaidi Ramli kepada Guru Besar semalam.

Menurut surat berkenaan, mesyuarat khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengenai pengurusan Covid-19 memutuskan bahawa mana-mana sekolah yang mempunyai kes positif Covid-19 perlu ditutup untuk tempoh tujuh hari tanpa menunggu analisa risiko oleh KKM.

“Berdasarkan surat bertarikh 21 Oktober yang mengesahkan terdapat jangkitan Covid-19 di sekolah SAR An-Nur Springhill, sekolah diarah tutup mulai hari ini sehingga 28 Oktober ini.

“Guru-guru perlu bekerja dari rumah dan melaksanakan proses pembelajaran dan pengajaran di rumah berdasarkan kesesuaian serta keupayaan akses murid sepanjang penutupan sekolah,” katanya.

Semalam, Sinar Harian melaporkan SMK Tunku Besar Tampin ditutup sehingga 28 Oktober ini manakala sekolah swasta Sekolah Tinggi Islam As-Sofa di Senawang pula diarah ditutup hari ini berikutan terdapat kes pelajarnya positif Covid-19.

ARTIKEL BERKAITAN Covid-19: Terdapat kes positif, SMK Tunku Besar Tampin ditutup


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!