X

Kindly register in order to view this article
!

Wanita, adik didakwa bunuh suami buta

A
A

KAJANG - Seorang wanita dan adik lelakinya dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh suaminya yang buta, di Kampung Baru Sungai Chua di sini awal bulan lalu.

Pengusaha sebuah kedai makan G.S Angela Dewi, 45, dan adiknya G S Vijaya, 42, yang merupakan pembantu kedai makan, mengangguk faham selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Muhammad Noor Firdaus Rosli.

Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh, kerana kes bunuh adalah di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa dengan niat secara bersama dengan sengaja membunuh R Devarajoo, 59, di sebuah rumah di Lorong Jati 1, Rumah Murah PKNS Blok A, Kampung Baru Sungai Chua di sini, antara jam 12 hingga 1 tengah hari pada 1 Oktober lalu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Hairuliqram Hairuddin memohon tarikh sebutan bagi menyerahkan dokumen dan laporan berkaitan kes selain tidak menawarkan jaminan.

Mahkamah memerintahkan tertuduh yang tidak diwakili peguam itu tidak diikat jamin dan menetapkan 21 Disember untuk sebutan semula kes.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan menerusi kenyataan media semalam berkata mangsa telah mengalami cedera parah di bahagian kepala akibat dipukul menggunakan tukul dalam kejadian jam 12.30 tengah hari pada 1 Oktober lepas.

Katanya, mangsa kemudian dimasukkan ke Hospital Kajang dan meninggal dunia pada 10 Oktober lalu.

Mohd Zaid berkata, pengadu iaitu isterinya sendiri membuat satu laporan polis kononnya suaminya telah disamun semasa berada di hadapan rumah mereka di kampung itu dan rantai leher emas milik mangsa telah dilarikan.

“Hasil siasatan lanjut polis mendapati, isteri kepada mangsa disyaki telah merancang dan membunuh mangsa bersama dengan adik lelakinya, untuk mendapatkan harta mangsa,” kata Mohd Zaid.

Difahamkan, mangsa dan isterinya telah berkahwin selama 13 tahun dan mangsa merupakan pengusaha perniagaan lori serta besi buruk, yang membabitkan aliran tunai perniagaan lebih RM2 juta. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!