X

Kindly register in order to view this article
!

Lambat bayar punca dibebani hutang

NADZIM JOHAN
A
A

SHAH ALAM- Amalan lambat membayar pinjaman dalam kalangan masyarakat termasuk pemilik syarikat-syarikat perniagaan menjadi antara punca mereka terbelenggu masalah hutang.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, konsep ‘bayar sebelum peluh kering’ tidak diamalkan terutama syarikat-syarikat perniagaan sehingga menyebabkan perkara lain yang berkaitan tergendala.

Disebabkan perkara itu, katanya, terdapat pihak lain seperti pembekal barangan terpaksa membuat pinjaman bukan sahaja daripada bank, malah pemberi pinjaman tanpa lesen atau ah long.

“Jadi di sini timbullah masalah lain yang cukup luar biasa apabila hutang kepada bank dan ah long tidak dapat dijelaskan sehingga berlakunya pelbagai ancaman bukan sahaja kepada individu berkenaan, bahkan keluarga mereka.

“Masyarakat perlu berubah dengan mengamalkan konsep ‘bayar sebelum peluh kering’ kepada pekerja-pekerja mereka mahupun mereka yang berhutang berbanding amalan biasa dilakukan oleh kapitalis yang suka membayar lambat,” katanya ketika menjadi panelis program Wacana Al-Quran bertajuk Padah Hutang Hilang Keluarga di Studio F Kompleks Kumpulan Karangkraf di sini semalam.

Dari kiri: Fazrul, Nadzim, Mohd Izhar Ariff dan Ahmad Tirmizi ketika Wacana Al-Quran bertajuk 'Padah Hutang Hilang Keluarga' yang berlangsung di Studio F Kompleks Kumpulan Karangkraf, Shah Alam semalam. - FOTO:ASRIL ASWANDI SHUKOR
Dari kiri: Fazrul, Nadzim, Mohd Izhar Ariff dan Ahmad Tirmizi ketika Wacana Al-Quran bertajuk 'Padah Hutang Hilang Keluarga' yang berlangsung di Studio F Kompleks Kumpulan Karangkraf, Shah Alam semalam. - FOTO:ASRIL ASWANDI SHUKOR

Selain Nadzim, program itu turut menampilkan Pensyarah Kanan Fiqh Fatwa dan Pusat Kajian Syariah, Fakulti Pengajian Islam daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Madya Datuk Dr Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim sebagai panelis.

Ketua Penyelidik Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Fazrul Ismail pula bertindak sebagai moderator manakala qari jemputan, Ustaz Ahmad Tirmizi Ali memperdengarkan bacaan surah al-Balad.

Sementara itu, Nadzim atau lebih dikenali sebagai Toqqi berkata, masyarakat perlu diberi pendedahan dan pendidikan terhadap perancangan kewangan agar mereka tidak terperangkap dalam masalah hutang.

Justeru, beliau berkata, pihak atau institusi yang berkaitan perlu memainkan peranan dalam memberi pendidikan serta melatih masyarakat menguruskan kewangan keluarga.

“Berdasarkan rekod yang kita terima, ramai dalam kalangan masyarakat khususnya pelajar menjadi alpa apabila mendapat wang yang banyak sehingga menyebabkan mereka berbelanja perkara yang tidak sepatutnya selepas menerima pinjaman daripada Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

“Keadaan ini menyebabkan mereka mula berperang dengan masalah hutang. Mungkin bermula daripada sekarang, ibu bapa perlu tanamkan azam dalam kalangan anak-anak untuk elak daripada berhutang yang akhirnya akan menjurus kepada riba,” katanya.

Dalam pada itu, Nadzim turut mengharapkan agar masyarakat memberi keutamaan dalam mengurus kewangan terutamanya terhadap perkara yang menjadi keperluan asas.

Menurutnya, masyarakat seharusnya berbangga sekiranya mereka berjaya mengurangkan perbelanjaan dan tidak menunjuk-nunjuk dengan kemewahan yang mereka miliki.

quote-ppim
quote-ppim


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!