Bekas setiausaha koperasi didakwa salah guna kuasa

No Image Caption
A
A
A

SEREMBAN - Seorang bekas setiausaha syarikat koperasi mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan menggunakan jawatannya bagi mendapatkan tiga projek bernilai keseluruhan RM360,250, lima tahun lepas.

Tertuduh, M Santhi, 55, membuat pengakuan berkenaan setelah semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Madihah Harullah.

Mengikut pertuduhan pertama hingga ketiga, tertuduh didakwa telah menggunakan jawatannya untuk mendapatkan suapan dengan melantik syarikat Shanvi Management and Trading yang merupakan syarikat miliknya, untuk menjalankan ‘Program Perindustrian Berorientasikan Kerjaya’ di Perak, Pahang dan Kedah dengan jumlah keseluruhan RM360,250.

Kesemua kesalahan itu dilakukan di pejabat Koperasi Global and National Skill Development Seremban Bhd di Seremban pada 2015.

Semua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) akta yang sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM Negeri Sembilan, Zainab Yahaya manakala tertuduh diwakili peguam M Dinesh.

Hakim memerintahkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 25 November depan.

Sebagai syarat tambahan, tertuduh perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melapor diri ke pejabat SPRM terdekat setiap bulan. - Bernama

Artikel Berkaitan: