Covid-19: 10,400 sampel lama di Sabah belum diproses

Masidi Manjun
Masidi Manjun
A
A
A

KOTA KINABALU - Keputusan 10,400 sampel ujian koronavirus (Covid-19) yang tertunggak dijangka dapat diselesaikan dalam tempoh sekurang-kurangnya tiga hari lagi.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, mengikut statistik Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), masih terdapat sekitar 10,400 sampel lama yang belum diproses.

"Ini bermakna, angka dalam beberapa hari ini mungkin dalam kerangka yang sama kerana ia menyumbang kepada jumlah yang kita catat apabila sampel ini diproses.

"Mengikut keupayaan JKNS, kita berharap sampel atau keputusan yang tertunggak itu kita dapat diselesaikan dalam tempoh tiga atau empat hari," katanya pada sidang media di Wisma Innoprose di sini hari ini.

Masidi berkata, keupayaan untuk memproses sampel tertunggak akan lebih cepat dengan pelantikan tiga hospital swasta yang diumumkan pada sidang media semalam.

"Seperti yang saya jelaskan semalam, pelantikan tiga makmal hospital swasta untuk bantu proses sampel ini dan kita andaikan kes yang tertunggak kita dapat selesaikan dengan segera," katanya.

Ketika diminta mengulas lanjut berhubung jumlah yang tertunggak berkaitan dengan kluster sedia ada, Masidi berkata, ujian yang dibuat adalah secara bersasar dan secara tidak langsung akan dapat dikesan.

"Ujian yang dibuat adalah di kawasan berisiko tinggi iaitu zon merah dan strategi JKNS adalah ujian lebih luas di tempat tumpuan yang difikirkan kebarangkalian jangkitan itu berlaku dalam jumlah yang ramai.

Artikel Berkaitan:

"Jadi strategi mereka adalah untuk berusaha membuat ujian sekurang-kurangnya lima peratus daripada penduduk di tempat berisiko tinggi atau ujian tumpuan supaya saringan itu dapat diperluaskan seberapa yang boleh," katanya.

Terdahulu, Masidi turut memaklumkan Kota Kinabalu masih mencatat kes baharu positif Covid-19 yang tertinggi di Sabah iaitu sebanyak 289 kes.

"Ingin saya maklumkan, daripada jumlah itu, 231 kes adalah daripada kluster penjara dan kawasan ini telah dimasukkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

"Bermakna kawasan penjara dan kuarters bagi pegawai penjara yang berdekatan adalah di bawah 'lockdown' atau PKPD," katanya.

Katanya lagi, Tawau mencatat daerah kedua tertinggi kes Covid-19 hari ini iaitu sebanyak 130 kes, diikuti Semporna (63), Sandakan (52), Lahad Datu (28), Kunak (24), Kudat (15) dan Kota Belud (10).

Menurutnya, Putatan pula mencatat sembilan kes, Ranau dan Beaufort masing-masing lapan kes, Tuaran dan Penampang sebanyak tujuh kes, Tambunan empat kes, Keningau dan Kinabatangan masing-masing tiga kes serta Kuala Penyu, Sipitang, Kota Marudu dan Telupid hanya catat satu kes hari ini.